KAWASAN pemasangan kemas dan bersih.
KAWASAN pemasangan kemas dan bersih.
Lizam Ridzuan


Kilang pemasangan enjin dan trenkuasa Proton di Tanjung Malim, Perak dilengkapi pelbagai alatan dan mesin berteknologi tinggi baharu.

Ia bagi memenuhi keperluan pemasangan enjin 1.5 TGDI (Suntikan Terus Gasolin Turbo) yang dilengkapi pada model Proton X50 dan yang terbaharu, X70.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata, ia meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi dengan kapasiti maksimum 180,000 unit.

Kapasiti maksimum itu pula dicapai sejak beberapa tahun lalu sebaik kilang berkenaan beroperasi dalam tiga syif.

"Ketika perjanjian kerjasama strategik bersama Geely pada 2017, salah satu komitmen kami ialah untuk melabur dalam industri automotif Malaysia daripada segi kewangan dan pengenalan komponen baharu berteknologi tinggi.

"Barisan pemasangan baharu ini memenuhi syarat yang ditetapkan untuk Proton menarik dan membangunkan bakat muda yang akan membantu memacu industri automotif serta syarikat pada masa hadapan," katanya pada sesi lawatan media di kilang berkenaan.

PROSES memindahkan enjin ke palet.
PROSES memindahkan enjin ke palet.

Kilang baharu ini mempunyai 88 stesen membabitkan 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual.

Enjin 1.5TGDI dibina menggunakan etos IR 4.0 dengan tahap automasi tinggi bagi meningkatkan produktiviti.

Suasana keseluruhan kilang juga sangat bersih, suhu bilik terkawal dan mempunyai stesen antistatik bagi membolehkan pelepasan elektrik statik yang melindungi komponen elektrik berteknologi tinggi.

Talian pemasangan bergerak pada sistem penghantar yang lancar. Ia juga bagi memastikan persekitaran lebih bersih dan kemas, tahan lama dan lebih murah dikendalikan berbanding menggunakan rantai.

Tambah beliau, semua pekerja barisan pemasangan menjalani latihan bersama Geely serta pembekal mesin daripada ABB, COMAU, FEV China, FEV India, WiBeda dan Hangxin.

Selain itu, Internet Pelbagai Benda (IOT) juga digunakan untuk pengumpulan data intensif dan analisis kualiti serta piawaian.

Ia dilengkapi 207 kawalan 'Error Mistake Proofing' (EMP) dan 34 kamera pintar resolusi tinggi bagi mengesan segala kecacatan pemasangan dengan segera.

AUTOMASI robot.
AUTOMASI robot.

"Kualiti adalah keutamaan barisan pemasangan enjin baharu ini dan kami perlu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa Proton mampu membina produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai.

"Kami juga bekerja rapat dengan rakan sejawatan kami di Geely untuk menyelesaikanmasalah dan berkongsi amalan terbaik dalam usaha menghasilkan enjin bertaraf dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 6:12 AM