GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: DRB-HICOM memeterai Perjanjian Kerjasama Utama (MCA) dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) berkaitan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, Perak.

Dalam makluman Bursa Malaysia hari ini, DRB-HICOM berkata kerjasama itu menetapkan prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama dalam pembangunan projek AHTV, termasuk peranan khusus yang akan dilaksanakan bagi inisiatif pembangunan dan promosi.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Hartanah dan Perancangan Strategi Korporat Azri Zaharuddin menandatangani perjanjian itu mewakili DRB-HICOM manakala Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi Dr Wei Mei menandatangani bagi pihak pengeluar kereta China itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu yang diadakan di Proton Tanjong Malim.

DRB-HICOM berkata, AHTV akan menjadi hab kenderaan antarabangsa generasi akan datang, meliputi penyelesaian automotif dan mobiliti yang luas di seluruh rantaian nilai, daripada pusat penyelidikan dan pembangunan global berteknologi tinggi sepenuhnya kepada pemain pengeluar peralatan asal automotif (OEM) bertaraf dunia, kluster pembuatan serta perkhidmatan sokongan dan ekosistem yang berkaitan.

Konglomerat itu berkata, AHTV akan menarik pelaburan domestik dan asing yang akan mendorongnya untuk menjadi hab automotif antarabangsa bagi kenderaan tenaga baharu (NEV).

"Fokus syarikat bukan sahaja kepada pengeluaran kereta pelbagai jenama tetapi juga pembuatan komponen dan alat ganti berteknologi tinggi untuk NEV.

Usaha ini akan memperluaskan lagi keupayaan vendor tempatan ke arah pengkhususan dalam pembuatan berteknologi tinggi," kata DRB-HICOM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 6:12 PM