Pengurusan kanan TNB bersama pengarang media tempatan.
Pengurusan kanan TNB bersama pengarang media tempatan.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengadakan sesi penerangan mengenai perkembangan semasa, cabaran dan masa depan industri tenaga negara kepada pengarang media, hari ini.

Sesi berkenaan dikendalikan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Baharin Din.

Ia antara lain meliputi kesan kenaikan harga bahan api fosil global terhadap kos penjanaan tenaga negara, yang disemak setiap enam bulan melalui Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), yang digunakan kerajaan dalam menentukan tarif elektrik.

Baharin turut menjelaskan mengenai masa depan industri tenaga yang lebih mampan dengan TNB menyumbang melalui pelan strategik Hala Tuju Kelestarian 2050 TNB (TNB Sustainability Pathway 2050), dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih, selari komitmennya terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Taklimat sempena Majlis Mesra Media 2022 itu turut dihadiri Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin dan Pengurusan Tertinggi TNB.

Ia dihadiri lebih 40 pengarang dan editor berita am, ekonomi dan digital dari media cetak serta elektronik.

Program ini adalah urutan pendekatan libat urus TNB bersama media pada setiap suku tahun, bagi memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat mengenai pelbagai isu industri tenaga.

Sejak awal tahun, dua sesi secara atas talian telah berjaya dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 8:32 PM