Datuk Teng Chang Khim
Datuk Teng Chang Khim
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022, Oktober depan, menyasarkan mencapai potensi jualan RM350 juta, di samping menarik 30,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perindustrian & Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, SIBS kembali pada edisi keenamnya tahun ini selama empat hari bermula 6 hingga 9 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

"SIBS 2022 akan meneruskan momentumnya dengan anggaran 850 gerai, malah akan menjadikan penganjuran terbesar tahun ini.

"Kami sasarkan untuk mencapai RM350 juta potensi jualan dengan sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung hadir dalam edisi tahun ini.

"SIBS 2022 akan menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B) ke-8, Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) ke-8, Ekspo Perindustrian Selangor Ke-2 (Spark 2022), Persidangan Perniagaan Asean Selangor ke-6 (SABC 2022), Konvensyen Bandar Pintar Selangor ke-7 & Ekonomi Digital (SDEC 2022) dan Ekspo R&D dan Inovasi Selangor ke-3 (SRIE 2022)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media SIBS 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari (kiri) serta Ketua Pegawai Operasi SIDEC, Loo Chuan Boon.

Teng berkata, penganjuran SIBS 2022 turut menyasarkan 20 peratus penyertaan perdagangan dari negara luar.

Malah katanya, SIBS 2022 juga membuka ruang kepada Selangor untuk mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan pilihan dan kompetitif di Asia.

"Pembukaan semula sempadan negara yang lebih pantas berbanding negara serantau lain memberikan kelebihan kepada perdagangan.

"Pelabur dan peniaga asing akan menjadikan Malaysia pilihan untuk mengembangkan perniagaan. Justeru, kami yakin penyertaan daripada peserta antarabangsa akan tinggi tahun ini," katanya.

Sementara itu, Hassan Azhari berkata, SIBS bukan hanya pengeksport dan pengilang dari Selangor tetapi juga dari negeri lain dan pemain serantau untuk memulakan semula perniagaan mereka di rantau ini.

"SIBS menyediakan peluang rangkaian untuk semua peserta, merentasi pelbagai sektor untuk bertemu dan bekerjasama, menggunakan Selangor sebagai pintu masuk ke Asean.

"SIBS menyediakan persekitaran pelaburan dan perniagaan yang paling kondusif untuk Malaysia secara keseluruhan dan untuk Selangor, khususnya.

Peserta boleh menggunakan SIBS sebagai platform dengan bakal pelanggan dan rakan kongsi perniagaan dari rantau ini," katanya.

Tahun lalu, SIBS 2021 merekodkan potensi jualan RM217.6 juta, hampir mencapai rekod jualan dalam SIBS 2019 iaitu RM247 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 5:17 PM