Hasan Azhari (dua dari kanan) yakin sektor pembuatan akan melonjakkan pelaburan di Selangor. FOTO
Hasan Azhari (dua dari kanan) yakin sektor pembuatan akan melonjakkan pelaburan di Selangor. FOTO
Sofyan Rizal Ishak


Invest Selangor Bhd (Invest Selangor), agensi promosi pelaburan Selangor menyasarkan untuk menarik pelaburan sebanyak RM7.5 bilion dalam sektor pembuatan bagi tahun ini berbanding RM8.2 bilion yang dicatatkan bagi tempoh Januari sehingga September tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, sasaran awal itu ditetapkan berdasarkan trend pasaran semasa dan prestasi yang dicatatkan pihaknya dalam tempoh lima hingga 10 tahun sebelum ini.

“Kami melihat purata pelaburan yang kami berjaya capai dalam tempoh itu adalah antara RM7 bilion hingga RM8 bilion dan oleh itu, kami melihat RM7.5 bilion adalah jumlah yang wajar dan boleh dicapai pada tahun ini,” katanya pada sidang media mengenai Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Kim.

Untuk 2018, Invest Selangor berjaya meluluskan 143 projek pembuatan bagi tempoh Januari hingga September 2019 membabitkan nilai pelaburan langsung keseluruhan sebanyak RM8.2 bilion di mana ia melebihi jumlah pelaburan yang dicatatkan pada 2017 iaitu sebanyak RM5.59 bilion.

Daripada jumlah itu, RM2.4 bilion adalah bagi pelaburan langsung domestik (DDI) manakala RM5.8 bilion adalah bagi pelaburan langsung asing (FDI).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 7:04 PM