MOHAMED Azmin (tengah) bersama Teng (kiri) dan Hasan Azhari merasmikan SIBS 2017, semalam.
MOHAMED Azmin (tengah) bersama Teng (kiri) dan Hasan Azhari merasmikan SIBS 2017, semalam.
Nabil Basaruddin

Shah Alam: Selangor berhasrat menjadi hab dagangan antarabangsa serta gerbang pelaburan utama di ASEAN bersandarkan pasaran serantau yang pesat berkembang dan pilihan peluang perniagaan yang lebih banyak di negeri itu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ASEAN adalah pasaran yang mempunyai kepadatan penduduk 625 juta dengan prospek pertumbuhan memberangsangkan.

Beliau berkata, dengan kedudukan Selangor sebagai negeri termaju dan penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia sebanyak 22.7 peratus pada 2016, ia memberikan kelebihan sebagai destinasi pelaburan utama.

“Saya optimis kemakmuran ekonomi di negeri ini berupaya menarik pelabur yang yakin dengan Selangor sebagai hab dagangan dunia pada masa akan datang.

“Saya berharap ia dapat meletakkan Selangor di peta dunia sebagai pusat tumpuan bagi segmen e-dagang yang berpotensi meningkatkan ekonomi negeri ini dan Malaysia,” katanya selepas majlis perasmian dan pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2017, di sini, semalam.

Hadir sama Exco Pelaburan, Industri dan Perdagangan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Datuk Hasan Azhari Idris.

Selangor menjadi lokasi tumpuan industri menerusi SIBS 2017 yang berlangsung selama 10 hari bermula 7-17 September ini di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam.

SIBS 2017 dianggap acara perniagaan terbesar di negara ini dijalankan dengan tiga komponen utama iaitu Konvensyen Bandar Pintar Selangor dan Perdagangan Masa Depan 2017 serta Persidangan Perniagaan Selangor-ASEAN yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan dan swasta serta profesional.

Mohamed Azmin berkata, bagi memastikan sasaran terbabit dicapai, pihaknya memberi penekanan terhadap sektor aeroangkasa, e-dagang, perkhidmatan dan bioteknologi.

“Jadi, kami menubuhkan empat majlis untuk melaksanakan inisiatif dirancang seperti Majlis Teknologi Maklumat dan Perdagangan (SITEC), Majlis Bio Selangor, Majlis Halal Antarabangsa Selangor dan Majlis Aeroangkasa Selangor.

“Secara tidak langsung, ini mewujudkan satu mekanisme mendorong industri untuk maju ke hadapan dan menyuntik pertumbuhan mampan dalam sektor ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 5:51 AM