TENG Chang Khim. FOTO Arkib NSTP
TENG Chang Khim. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Invest Selangor Bhd membantu usahawan makanan dan minuman (F&B) menembusi pasaran tempatan dan Asean melalui Program Supermarket Buyers 2021 yang julung kali diperkenalkan di bawah Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B) 2021.

Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, program itu menawarkan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri dalam membantu usahawan F&B untuk menjadi pembekal kepada pasar raya yang mengambil bahagian iaitu Aeon Co (M) Sdn Bhd, Lulu Group Retail Malaysia dan ST Rosyam Mart Sdn Bhd.

"Kerjasama ini diwujudkan supaya Invest Selangor dapat membantu usahawan bagi tiga pasar raya terbesar ini.

"Usahawan berpotensi digalakkan melebarkan perniagaan mereka ke pasaran Asean seperti Vietnam, Indonesia dan Filipina," katanya selepas majlis pertukaran dokumen antara Invest Selangor dan Aeon Co, Lulu Group Retail serta ST Rosyam Mart yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Majlis itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari dan disaksikan Teng.

Teng berkata, terdapat kontrak jualan dan pembekalan yang diberikan kepada 10 peserta terpilih yang diputuskan pihak pasar raya berkenaan.

Beliau berkata, pasar raya berkenaan bertanggungjawab ke atas prestasi pembekal sebaik sahaja kontrak jualan dan pembekalan ditandatangani.

"Pasar raya itu juga dikehendaki memberi maklum balas mengenai prestasi pembekal kepada kerajaan negeri melalui Invest Selangor secara berkala," katanya.

Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B) edisi ketujuh itu diadakan sempena penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 8:57 AM