Chang Khim (tengah) selepas prapelancaran SIBS 2023. - FOTO Amirudin Sahib
Chang Khim (tengah) selepas prapelancaran SIBS 2023. - FOTO Amirudin Sahib
Suliati Asri


Petaling Jaya: Invest Selangor Bhd (Invest Selangor) menyasarkan RM1.5 bilion potensi jualan bagi penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 yang bakal berlangsung pada 19 hingga 22 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil Dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata untuk penganjuran SIMB kali ke tujuh ini, pihaknya menjangkakan lebih 50,000 pengunjung melalui penyertaan 1,050 reruai.

Menurutnya, menerusi penganjuran kali ini, terdapat enam acara utama bakal diketengahkan sepanjang empat hari persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang memberi tumpuan kepada pelbagai peluang perniagaan dan pelaburan.

"Berdasarkan penganjuran SIBS sebelum ini, penyumbang utama jualan datang daripada acara Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Medic).

"Ekspo Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor turut menjadi penyumbang terbesar. Oleh itu, tahun ini kami menjangkakan perkara yang sama," katanya pada prapelancaran SIBS 2023 dan iftar bersama media di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Datuk Hasan Azhari Idris.

Chang Khim berkata, pendaftaran untuk pengunjung kini sudah dibuka di www.selangorsummit.com.

"Kami berharap sidang kemuncak tahun ini membuka lebih banyak peluang kepada syarikat multinasional, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka, dan bertindak sebagai jalan strategik untuk kerjasama dan perkongsian.

"Kami sudah meraih kejayaan yang besar pada SIBS 2022 dan yakin SIBS 2023 ini kami dapat mencapai sasaran ditetapkan atau sekurang-kurang sama seperti tahun lalu," katanya.

Selain menampilkan enam acara utama serentak, sidang kemuncak ini turut mengadakan tiga acara selari lain iaitu Festival Masakan Antarabangsa Selangor, Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor dan Kejohanan Golf Jemputan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 3:24 PM