SZE Han
SZE Han
Oleh Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 merekodkan pencapaian memberangsangkan apabila meraih hampir RM7 bilion potensi nilai transaksi pada siri penganjuran tahun ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata kedua-dua acara tahunan utama kerajaan negeri yang dilaksanakan menerusi agensi Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) berjaya membina reputasi untuk kemudahan perdagangan dan pelaburan serta kepimpinan pemikiran ekonomi dalam kalangan perniagaan, kerajaan dan pemegang kepentingan utama lain dalam rantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean).

Katanya, SIBS2023 yang diadakan pada 19 hingga 22 Oktober lalu merekodkan potensi nilai transaksi berjumlah RM6.12 bilion yang mana ia adalah lonjakan luar biasa berbanding penganjurannya pada 2022.

"Potensi nilai transaksi bagi SIBS2023 meningkat 322 peratus berbanding pada penganjuran pada 2022 yang merekodkan sejumlah RM1.45 bilion.

"Terdapat 34 memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada SIBS2023, meliputi kerjasama pelbagai subsektor industri dan berjaya menarik seramai 57,249 pelawat dari 83 negara.

"Jumlah ini juga jauh melepasi 44,342 pelawat yang didaftarkan pada 2022. SIBS2023 turut menjadi tuan rumah kepada seramai 339 pembeli perdagangan dari 26 negara, 11 pembeli pasar raya dan dua pembeli farmasi kali ini," katanya pada sidang media, di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, SIBS2023 juga menyaksikan penyertaan yang lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan 972 reruai yang diambil oleh 612 pempamer tempatan dan antarabangsa.

Mengulas mengenai SAS2023, Sze Han berkata, edisi ketiga SAS pada 7 hingga 9 September lalu merekodkan sejumlah RM823 juta potensi nilai transaksi.

"SAS juga menampilkan peluang untuk generasi masa depan bakat industri penerbangan, yang mana kira-kira 26 syarikat penerbangan dan aeroangkasa mengambil bahagian dan membuka reruai kerjaya pada SAS2023," katanya.

Menurutnya, SAS2024 dijangka diadakan pada 12 hingga 14 September manakala SIBS2024 akan diadakan dua kali iaitu 25 hingga 27 Julai dan 16 hingga 19 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 6:01 AM