MALAYSIA Airports   antara kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia.
MALAYSIA Airports antara kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia.

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports) sebagai pengendali lapangan terbang utama negara menyifatkan pembukaan semula sempadan negara menjadi titik tolak yang merangsang pemulihan prestasi ekonomi negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, ia juga melonjak prestasi Malaysia Airports hasil daripada tambahan bilangan pergerakan penumpang antarabangsa.

"Menerusi pembukaan semula pintu sempadan, Malaysia meraih semula punca pendapatan ini. Selain itu, permintaan pasaran global bagi pelbagai industri tempatan juga kembali meningkat dan ini semua berpotensi untuk memulihkan ekonomi negara dengan lebih pantas," katanya dalam kenyataan.

Sebelum penularan Covid-19, Malaysia menerima 26 juta pengunjung dan menjana RM86 bilion dalam perbelanjaan pelancongan.

Beliau memberi komitmen Malaysia Airports menyokong penuh usaha kerajaan dengan memastikan kualiti perkhidmatan di lapangan terbang sentiasa berada di tahap tertinggi sebagai langkah penyediaan menerima bilangan penumpang lebih ramai.

Malaysia Airports antara kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia daripada segi jumlah penumpang dikendalikan.

Ia mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

Lapangan terbang di bawah pengendalian Malaysia Airports itu merangkumi lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport).

Lapangan terbang utamanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara hab penerbangan pilihan rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 7:05 AM