PERGERAKAN trafik antarabangsa di semua rangkaian lapangan terbang tempatan milik MAHB meningkat.
PERGERAKAN trafik antarabangsa di semua rangkaian lapangan terbang tempatan milik MAHB meningkat.

PERGERAKAN trafik antarabangsa di semua rangkaian lapangan terbang tempatan milik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat 53 peratus kepada 642,128 penumpang selepas sempadan dibuka pada 1 April lalu.

Sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa, MAHB merekodkan purata 23,000 pergerakan penumpang antarabangsa setiap hari dengan jumlah memuncak melebihi 30,000 pergerakan penumpang ketika cuti Hari Raya Aidilfitri.

Secara keseluruhan, rangkaian lapangan terbang MAHB merekodkan 642,128 pergerakan penumpang antarabangsa, di mana Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) mencatat peningkatan paling ketara, masing-masing melebihi 200 peratus.

Bagi operasi Malaysia, MAHB merekodkan 2.78 juta penumpang pada April, dengan pergerakan penumpang domestik berjumlah 2.13 juta atau 77 peratus daripada keseluruhan pergerakan penumpang.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, memandangkan lapangan terbang terus melihat pertumbuhan yang baik selepas pembukaan semula sempadan, syarikat penerbangan juga mengambil momentum dengan menyambung semula laluan penerbangan antarabangsa secara aktif.

"Ini menambah keyakinan kami terhadap pemulihan industri yang lebih pantas. Kami juga gembira kerana Tioman STOLport (TOD) beroperasi semula pada bulan ini untuk memberi perkhidmatan kepada laluan penerbangan SKS Airways (KI) Subang (SZB).

"KI pada masa ini satu-satunya syarikat penerbangan dengan perkhidmatan berjadual yang membuat penerbangan di laluan ini empat kali seminggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 7:10 AM