MOHD Shukrie
MOHD Shukrie

PERJALANAN udara di Malaysia menunjukkan tanda pemulihan yang terus ketara dalam tempoh sembilan hari pertama Julai berbanding Jun lalu susulan kelonggaran sekatan perjalanan yang kini memasuki bulan kedua.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pergerakan penumpang dan pesawat di 39 lapangan terbang di Malaysia turut meningkat dua kali ganda dengan kadar purata harian masing-masing 37,000 dan 550 berbanding 18,650 dan 290 dalam sembilan hari pertama Jun lalu.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, angka itu merangkumi aliran pergerakan domestik berikutan Malaysia belum membuka sepenuhnya sempadan negara kepada perjalanan antarabangsa.

Menurutnya, ia menyifatkan perkembangan itu sebagai tanda positif pemulihan bagi industri penerbangan negara ini.

"Kita berharap melihat peningkatan lebih ketara pada masa akan datang khususnya menjelang Hari Raya Aidiladha akhir bulan ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, syarikat penerbangan tempatan juga melancarkan kempen jualan agresif bagi meningkatkan faktor muatan masing-masing.

Dalam pada itu, Mohd Shukrie turut mengalu-alukan usaha kerajaan Malaysia dan Singapura melaksanakan koridor perjalanan selamat antara kedua-dua negara yang kini dalam proses perbincangan.

"Pengenalan Laluan Hijau Malaysia-Singapura diumumkan Menteri Luar masing-masing pada 14 Julai lalu adalah permulaan baik dalam usaha untuk terus melonggarkan pembukaan sempadan kedua-dua negara," katanya.

Bagaimanapun, katanya, MAHB akan terus berusaha bagi memastikan persekitaran lapangan terbang yang selamat untuk pengembara dan pelancong serta memulihkan keyakinan terhadap aktiviti perjalanan udara.

Baru-baru ini, pengendali lapangan terbang itu mengetengahkan beberapa langkah berasaskan teknologi yang dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menyediakan pengalaman tanpa sentuh di pintu masuk.

Bagi operasinya di luar negara, aset milik penuh MAHB di Turki iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, juga telah menyambung operasi berikutan pembukaan semula sempadan negara itu sejak 12 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 7:20 AM