Pengecas telefon bimbit, soket sambungan, kabel pendawaian dan palam kuasa adalah antara produk yang terdapat di pasaran terutama di kedai penjualan alat-alat telekomunikasi.

Produk seperti ini yang tidak mempunyai label SIRIM-ST adakalanya menjadi pilihan kerana harga yang ditawarkan lebih murah berbanding dengan produk berlabel SIRIM-ST.

Namun, ramai yang tidak menyedari penggunaan kelengkapan elektrik tanpa kelulusan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan tidak berlabel SIRIM-ST adalah berisiko tinggi untuk digunakan.

Justeru, sebagai pengguna yang bijak, kita hendaklah memastikan hanya kelengkapan elektrik yang mempunyai label SIRIM-ST atau tanda pensijilan SIRIM sahaja digunakan.

Pengarah Jabatan Kawal Selia Keselamatan ST, Ir Md Zakuan Ibrahim berkata, dengan adanya label SIRIM-ST, ia menunjukkan kelengkapan elektrik yang dibeli atau digunakan sudah diluluskan.

ST seringkali menekankan kepentingan menggunakan kelengkapan elektrik yang diluluskan dan mempunyai label SIRIM-ST. Ini kerana ia sudah diuji dan diperiksa dari segi keselamatan mengikut standard keselamatan yang ditetapkan.

Oleh itu, ia lebih selamat untuk digunakan berbanding dengan kelengkapan elektrik yang tidak diluluskan atau tidak mempunyai label SIRIM-ST.

Dengan ini juga, kes-kes kemalangan dan kebakaran yang berpunca daripada kelengkapan elektrik yang boleh menyebabkan kecederaan dan mengundang maut dapat dielakkan.

"Sebelum sebarang peralatan elektrik yang dikawal oleh ST dapat dijual di pasaran, ia perlu mendapatkan Perakuan Kelulusan (COA) daripada ST dan menjalani ujian serta pensijilan oleh SIRIM.

"Peralatan elektrik yang telah diluluskan hendaklah dilekatkan dengan label SIRIM-ST atau mempunyai tanda pensijilan SIRIM," katanya.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Mohd Elmi Anas berkata, ST dari semasa ke semasa menjalankan penguatkuasaan bagi memantau penjualan kelengkapan elektrik yang tidak diluluskan termasuk pada Oktober 2019 di mana serbuan serentak dijalankan di 12 premis di sembilan negeri berdasarkan pemantauan dan maklumat awam.

"Dalam serbuan itu, pasukan penguatkuasa berjaya merampas 7,000 peralatan elektrik terkawal yang tidak mempunyai CoA dan label SIRIM-ST dengan nilai pasaran berjumlah lebih RM150,000.

"Antara senarai barangan yang disita termasuklah pengecas telefon bimbit, soket sambungan, kabel pendawaian dan palam kuasa," katanya.

ST juga membuat serbuan ke atas gudang penyimpanan kelengkapan elektrik milik pengimpot seperti yang telah dilakukan pada 23 Mac lalu.

Dalam serbuan tersebut, beberapa jenis kelengkapan elektrik yang dikawal seperti air fryer dan pressure cooker dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM113,000 didapati diimpot masuk ke negara ini tanpa memperoleh kelulusan ST terlebih dahulu.

Menurutnya lagi, garis panduan ST mengenai kelengkapan elektrik sudah menetapkan 34 kategori peralatan elektrik dan elektronik yang mesti diuji serta diperakui mengikut piawaian yang ditetapkan termasuk peti ais, periuk nasi, cerek elektrik, air fryer dan ketuhar gelombang mikro.

Oleh yang demikian, ST sekali lagi menasihati orang ramai hanya membeli dan mengguna kelengkapan elektrik yang diluluskan oleh ST dan mempunyai label keselamatan SIRIM-ST atau mempunyai tanda pensijilan SIRIM.

Selain itu, masyarakat juga dinasihatkan berhati-hati dengan penyalahgunaan atau pemalsuan label SIRIM-ST oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pengguna boleh menyemak dengan mudah produk yang dibeli secara dalam talian atau di kedai sama ada ia sudah mendapat perakuan daripada SIRIM dengan memasukkan maklumat produk ke dalam aplikasi mudah alih SIRIM QAS International.

Pengguna juga boleh membuat aduan kepada ST sekiranya mendapati kelengkapan elektrik yang dijual di pasaran tidak dilekatkan dengan label SIRIM-ST melalui sistem eAduan ST dengan menghubungi talian 03-8870 8800 atau laman web ST iaitu www.st.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 6:45 AM