FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Dua lagi bank menyertai usaha membantu asnaf dan komuniti yang berdepan kesan pandemik Covid-19 menerusi program iTekad 2.0.

Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menyertai Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dalam menawarkan dan memperluas pelaksanaan program ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pihaknya gembira menyokong inisiatif iTekad yang mencerminkan nilai-nilai CIMB Islamic yang berlandaskan prinsip-prinsip Syariah dalam menyumbang secara positif dan membentuk impak mampan terhadap ekonomi dan komuniti tempatan, termasuk golongan B40 dan asnaf, serta kehidupan mereka yang terjejas disebabkan oleh pandemik Covid-19.

"Inisiatif akan datang kami iaitu Program Keusahawanan Penghantar Makanan akan meletakkan asas

untuk membentuk penjanaan pendapatan yang berterusan bagi komuniti kurang bernasib baik menerusi peningkatan kemahiran, penyediaan latihan berstruktur dan peluang kerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff

Menurutnya, CIMB Islamic bakal menyaksikan kumpulan pertama graduan Program Keusahawanan Penghantar Makanannya pada September ini, dengan pilihan meneruskan minat mereka dalam khidmat penghantaran makanan disokong oleh penyediaan geran motosikal.

"Selepas menamatkan program berkenaan, peserta juga boleh meningkatkan kemahiran mereka dalam usaha untuk memiliki perniagaan tersendiri.

"Program Keusahawanan Penghantar Makanan CIMB Islamic akan dikendalikan melalui dana awalan bernilai RM300,000.

"Maklumat lanjut berkenaan program-program ini akan diumumkan oleh bank-bank terbabit dalam masa terdekat," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya adalah pencetus trend dalam menyumbang kepada kewangan sosial Islam dan menerajui bidang berkenaan dengan menyediakan penyelesaian inovatif terhadap ketidaktentuan ekonomi semasa menerusi program iTekad Mawaddah.

"Program iTekad Mawaddah adalah unik kerana ia menerapkan inovasi Syariah mudarabah dua peringkat. Di bawah konsep baharu ini, Bank Muamalat akan mengumpul dana daripada pelabur untuk melabur dalam perniagaan-perniagaan yang dimiliki individu B40 dan usahawan mikro.

"Keuntungan dan kerugian setiap perniagaan akan dikongsi oleh pelabur masing-masing," katanya.

Industri-industri sasaran di bawah program iTekad Mawaddah adalah dalam segmen makanan dan minuman (F&B), pertanian dan ekonomi sambilan.

Usahawan yang menyertai program ini akan disediakan khidmat nasihat kewangan dan pensijilan halal.

Katanya, bagi fasa pertama program iTekad Mawaddah, Bank Muamalat menyasarkan dana pelaburan berjumlah RM200,000 daripada pelabur terpilih yang akan memberi manfaat kepada 20 usahawan industri

F&B.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 6:32 PM