Khairul Kamarudin
Khairul Kamarudin
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Memahami situasi dihadapi oleh usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19, Bank Muamalat terus komited menyediakan bantuan kewangan sosial melalui platform iTekad Mawaddah.

Program iTekad Mawaddah berkonsepkan 'labur dan bantu' memberi suntikan dana kepada usahawan B40 dan asnaf untuk meneruskan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, ia dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan usahawan dan secara tidak langsung meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, iTekad Mawaddah menggunakan instrumen pelaburan berasaskan konsep Mudarabah, di mana keuntungan yang dijana akan dikongsi antara usahawan dan pelabur.

Katanya, sekiranya berlaku kerugian, kerugian itu akan ditanggung oleh pelabur sahaja dan keistimewaan konsep pelaburan ini, ia dapat mengurangkan kadar keberhutangan dalam kalangan usahawan.

Beliau berkata, ia mempamerkan semangat tolong-menolong antara pelabur dan usahawan dalam membina sebuah pusingan perniagaan patuh syariah dan menyokong sektor perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Bank Muamalat akan mempergiat promosi terhadap program ini bagi mendapatkan lebih ramai pelabur di samping calon usahawan yang komited untuk mengembangkan perusahaan mereka.

"Sebagai nilai tambah kepada inisiatif ini, Bank Muamalat akan membimbing dan menaja usahawan yang terpilih sehingga perniagaan mereka mendapat persijilan halal sekali gus membolehkan mereka berdaya saing di peringkat global.

"Bank Muamalat turut bekerjasama dengan rakan bank lain seperti Bank Islam dan CIMB Islamic dalam mengenal pasti data usahawan dalam sektor makanan dan minuman (F&B), pertanian dan ekonomi gig," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, dana yang dikumpul daripada pelabur akan menjadi modal permulaan bagi usahawan B40 dan asnaf yang menyertai iTekad Mawaddah.

Selain itu, Khairul berkata, peserta ini akan menerima latihan secara percuma daripada perunding latihan yang dilantik bertujuan untuk memastikan perniagaan mereka berada di landasan tepat.

Beliau berkata, sekiranya peserta ini menghadapi masalah, perunding latihan akan membantu usahawan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, usahawan ini tidak akan terabai kerana mereka bertanggungjawab untuk memastikan dana pelaburan yang diterima akan memberi pulangan kompetitif kepada pelabur.

"Untuk fasa pertama ini, Bank Muamalat menyasarkan dana pelaburan sebanyak RM100,000 dengan tumpuan 10 usahawan dari sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Johor.

"Antara kaedah untuk mencapai jumlah ini adalah dengan siri promosi dan sesi libat urus bersama perunding latihan untuk mengenal pasti calon peserta yang layak menyertai program ini.

"Usahawan juga boleh emel ke [email protected] untuk sebarang pertanyaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 7:01 AM