GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


KEPUTUSAN membenarkan jemaah haji Malaysia menunaikan rukun Islam kelima musim ini akan diumumkan selepas Aidilfitri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, setakat hari ini, Kerajaan Arab Saudi belum membuat sebarang pengumuman sama ada umat Islam dibenarkan untuk menunaikan haji atau sebaliknya.

Menurut beliau, sekiranya mendapat kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi, perkara itu akan dibincangkan dengan semua pihak bagi mencari pendekatan terbaik berhubung perkara itu.

"Walau bagaimanapun keputusan kebenaran itu bergantung kepada pengumuman Kerajaan Arab Saudi," katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Peruntukan Sumbangan Program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli: Musa'adah COVID-19 daripada CIMB Islamic Bank, di Putrajaya, hari ini.

ZULKIFLI (tengah) menyaksikan Ahmad Shahriman (kanan) menyerahkan replika cek kepada Ahmad Syukri. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ZULKIFLI (tengah) menyaksikan Ahmad Shahriman (kanan) menyerahkan replika cek kepada Ahmad Syukri. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Sumbangan berjumlah RM150,000 itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Ahmad Shahriman Mohd Shariff kepada Yang Di Pertua YADIM, Ustaz Nik Omar Nik Aziz.

Pada majlis sama CIMB Islamic Bank turut menyampaikan sumbangan Musa'adah Covid-19 berjumlah RM300,000 kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) - Majlis Agama IslamWilayah Persekutuan (MAIWP) yang diwakili Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Syukri Yusoff.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh; Pengarah Urusan Senior Banker Group, Kumpulan CIMB, Rosman Nordin dan Ketua Jabatan Perbankan Konsumer, CIMB Islamic Bank, Ken Mohamed Faiz Kamal.

Peruntukan sumbangan YADIM Peduli:Musa'adah Covid-19 itu bertujuan meringankan bebanan kumpulan asnaf, B40, barisan hadapan yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nik Omar berkata, sehingga kini 9,732 orang telah menerima bantuan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan dapur di seluruh negara dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM489,280.00.

Katanya, 40 peratus hasil sumbangan diterima itu akan diagihkan kepada masyarakat Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 12:15 PM