BANGUNAN Bank Muamalat.
BANGUNAN Bank Muamalat.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) membantu usahawan daripada golongan asnaf dan B40 melalui program iTekad Mawaddah, program keusahawanan yang bercirikan kewangan sosial dan konsep syariah mudarabah, membabitkan 10 usahawan perintis.

Inisiatif yang diterajui Bank Muamalat itu bertujuan menyokong usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu usahawan golongan itu untuk menceburi bidang perniagaan atau memajukan perniagaan.

Dalam program itu, Bank Muamalat menyediakan platform pelaburan patuh syariah untuk memberikan pulangan yang kompetitif kepada pelabur.

Usahawan yang menyertai program iTekad Mawaddah, berlandaskan konsep mudarabah, akan menerima dana daripada pelabur untuk menjalankan perniagaan mereka.

"Keuntungan yang dijana akan dikongsi antara usahawan dan pelabur. Sekiranya berlaku kerugian, kerugian itu akan ditanggung oleh pelabur sahaja.

"Program iTekad Mawaddah akan menyediakan modal kerja sehingga RM10,000 dan latihan perniagaan secara percuma untuk setiap usahawan daripada golongan asnaf dan B40 yang terpilih," katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, satu majlis secara norma baharu yang disertai usahawan perintis dari Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Johor itu diadakan bagi menyerahkan sijil penyertaan program iTekad Mawaddah.

Ia disaksikan Ketua Pegawai Strategi Bank Muamalat, Mohammad Fairuz Mohd Radi dan pihak pengurusan kanan Bank Muamalat serta wakil daripada perunding latihan yang dilantik iaitu People Systems Consultancy Sdn Bhd dan Serunai COE Sdn Bhd.

Bank Muamalat berkata, program iTEKAD Mawaddah turut terbuka kepada usahawan daripada kumpulan sasar yang terkesan pandemik Covid-19.

Bank Muamalat juga berjaya meraih dana yang diperlukan untuk membantu 10 orang usahawan terpilih dengan dana yang diterima daripada pelabur akan dijadikan modal kerja oleh usahawan.

Bidang perniagaan yang dipilih untuk fasa pertama adalah industri makanan dan minuman.

Mereka juga akan menerima latihan keusahawanan yang bersesuaian daripada jurulatih perunding yang berpengalaman.

Sekiranya layak, peniaga akan turut dibantu untuk mendapatkan sijil halal bagi membolehkan mereka bersaing secara kompetitif di peringkat global.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 11:35 AM