BANK Muamalat.
BANK Muamalat.

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) antara bank terawal menyahut seruan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memulakan program iTEKAD, seiring Bank Islam Malaysia Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Bank Muamalat membangunkan program iTEKAD melalui dua model iaitu iTEKAD Mawaddah dan iTEKAD Mahabbah yang memberi manfaat kepada 777 usahawan asnaf dan B40 dengan pengagihan RM6.5 juta.

"Program ini membolehkan peserta, terdiri daripada usahawan mikro asnaf dan B40 mendapat akses kepada pembiayaan bagi membolehkan mereka memulakan dan meneruskan kesinambungan perniagaan mereka.

"Usaha ini secara tidak langsung menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan golongan ini.

"Mereka diberi latihan berstruktur bagi meningkatkan kemahiran serta dibimbing dengan meningkatkan kepintaran dalam perniagaan dan menjana pendapatan lebih tinggi secara mampan," katanya.

Model pertama iaitu iTEKAD Mawaddah melalui inovasi Syariah yang menggabungkan instrumen kewangan sosial (dana zakat) dan dana pelaburan yang bertujuan sebagai bantuan kewangan untuk membantu mereka yang layak memohon.

"Ia menggunakan produk akaun pelaburan terhad patuh Syariah yang berasaskan konsep dua peringkat Mudarabah, iaitu kontrak antara pemberi modal (rabbul mal) dan usahawan (mudarib).

"Program ini dirangka dengan tujuan membantu usahawan mikro, terutama dalam kalangan B40 dan asnaf yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dalam usaha untuk bangkit dan membina semula perusahaan mereka serta menyokong usaha kerajaan dan BNM membantu golongan ini untuk lebih berdaya maju," katanya.

Model kedua program iTEKAD yang dinamakan sebagai iTEKAD Mahabbah membabitkan peserta usahawan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (iPUSH), sebuah program kolaborasi antara kerajaan negeri Pahang dan Bank Muamalat.

MOHD Afzanizam
MOHD Afzanizam

Objektif dan sasaran program iTEKAD Mahabbah selari dengan iTEKAD Mawaddah iaitu menyediakan bantuan latihan berstruktur, bantuan aset perniagaan dan pembiayaan.

"Perbezaan kedua–dua model iTEKAD ialah dari sudut penyedia dana pembiayaan dan kontrak Syariah. Dana pembiayaan bagi iTEKAD Mawaddah ialah daripada pelabur manakala iTEKAD Mahabbah daripada kerajaan negeri Pahang.

"Kontrak Syariah bagi iTEKAD Mawaddah ialah pelaburan dengan peratusan perkongsian keuntungan (mudarabah) dan iTEKAD Mahabbah ialah pinjaman tanpa keuntungan atau riba (Qard)," katanya.

Sehingga kini, Bank Muamalat 25 peserta dalam kalangan asnaf dan B40 dengan pembiayaan lebih RM160,000 melalui iTEKAD Mawaddah.

Sementara itu, geran 'aset perniagaan' yang diterima daripada BNM dan Kementerian Kewangan sebanyak RM85,000. Dana geran ini masih berbaki RM41,253.31 untuk digunakan kepada kumpulan baharu nanti.

"Bagi 2023, Bank Muamalat menyasarkan pembiayaan untuk program iTEKAD Mawaddah sebanyak RM150,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 10:38 AM