FOTO HIASAN. Arkib NSTP
FOTO HIASAN. Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Harga minyak sawit mentah (MSM) terus meningkat kepada 12.03 peratus dalam tempoh hanya dua bulan sejak 15 Mac lalu.

  Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, prestasi baik harga MSM itu disokong peningkatan harga minyak kacang soya, lonjakan eksport dan stok minyak sawit yang masih terkawal.

 Katanya, eksport minyak sawit Malaysia melonjak 12.6 peratus kepada 1.34 juta tan pada April 2021 berbanding 1.19 juta tan pada Mac 2021 disebabkan peningkatan permintaan dari negara pengimport utama. 

  "Stok minyak sawit susut 24.4 peratus kepada 1.55 juta tan pada April 2021 daripada 2.04 juta tan bulan sama tahun lalu.

  "Ini disebabkan pengeluaran MSM bagi Januari hingga April 2021 adalah enam peratus lebih rendah kepada 5.18 juta tan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 5.51 juta tan," katanya dalam kenyataan.

  Pada 15 Mac, harga MSM mencecah RM4,247.50 satu tan, iaitu paras tertinggi sepanjang masa dalam sejarah industri minyak sawit negara.

  Selain itu, harga MSM yang dicatatkan pada 7 Mei melepasi paras kemuncak sebelum ini iaitu RM4,652 satu tan yang dicatatkan hari sebelumnya. 

  Harga MSM turut merekodkan prestasi terbaiknya dalam sejarah pada 7 Mei lalu apabila ia melonjak kepada RM4,758.50 satu tan selepas mencecah paras tertinggi harian RM4,800 satu tan dan paras rendah RM4,640 satu tan.

  Malah, harga yang dicatatkan pada 7 Mei mengatasi sembilan paras tertinggi iaitu RM4,247.50 satu tan (15 Mac); RM4,270 satu tan (9 April 9); RM4,306.50 satu tan (21 April); RM4,376.50 satu tan (22 April); RM4,428.50 satu tan (23 April); RM4,502 satu tan (3 Mei); RM4,525.50 satu tan (4 Mei); RM4,548.50 satu tan (5 Mei); dan RM4,652 satu tan (6 Mei).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 11:18 AM