Penduduk Kampung Ajai, Raub, Pahang, Abdul Raof Muntil termenung mengenangkan nasib apabila rumahnya kini hanya tinggal tunggul tangga kerana dihanyutkan banjir besar.
Penduduk Kampung Ajai, Raub, Pahang, Abdul Raof Muntil termenung mengenangkan nasib apabila rumahnya kini hanya tinggal tunggul tangga kerana dihanyutkan banjir besar.

BANK Islam Malaysia Bhd menyalurkan dana berjumlah RM400,000 daripada platform pendanaan awam Islamnya, Sadaqa House untuk misi bantuan kemanusiaan dan bencana banjir di negeri terkesan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, selain menawarkan kemudahan moratorium kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir, bank itu juga menggandakan usahanya dengan memperuntukkan sumbangan daripada inisiatif kewangan sosial Islamnya, Sadaqa House bagi memastikan dana sokongan dan bantuan dapat disalurkan kepada mangsa.

"Usaha ini juga secara tidak langsung mencerminkan bahawa institusi perbankan Islam sentiasa mengamalkan konsep perkongsian rezeki dan peranan instrumen kewangan sosial Islam seperti sedekah, zakat dan wakaf mempunyai kelebihan dalam memainkan peranan penting untuk membantu menjaga kebajikan sosioekonomi ummah," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Muazzam berkata, bank itu juga akan menyalurkan RM100,000 daripada jumlah dana berkenaan kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah yang kini giat menjalankan aktiviti membantu mereka yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Dana misi bantuan kemanusiaan dan bencana Bank Islam merangkumi sokongan bantuan langsung seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, kelengkapan asas mangsa banjir di PPS serta pembelian peralatan kebersihan bagi menghadapi keadaan pascabanjir.

Bank Islam juga turut bekerjasama dan menjalinkan hubungan strategik dengan dengan beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara, Yayasan Food Bank Malaysia, Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia dan Mercy Malaysia untuk penyaluran bantuan ini.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan kepada Sadaqa House Bank Islam di akaun 140 140 101 88888 atau melayari laman web Sadaqa House di www.sadaqahouse.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 9:00 AM