MOHD Muazzam (kanan) bersama pengasas Buku Jalanan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin pada Majlis Penyerahan Sumbangan Sadaqa House.
MOHD Muazzam (kanan) bersama pengasas Buku Jalanan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin pada Majlis Penyerahan Sumbangan Sadaqa House.
Sri Ayu Kartika Amri


BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) sudah menghubungi 380,000 pelanggannya secara berperingkat menerusi SMS sejak minggu lalu bagi menawarkan lanjutan moratorium kepada pelanggan yang terkesan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, setakat ini, kurang 10 peratus daripadanya menghubungi bank bagi mengatur penyelesaian terbaik memandangkan tempoh moratorium selama enam bulan dijadualkan tamat September ini.

Mohd Muazzam berkata, pihaknya berharap pelanggan yang menerima SMS daripada Bank Islam dapat membalasnya, jika mereka merasakan perlu untuk pelanjutan moratorium ini.

"Bank Islam mempunyai kira-kira 380,000 pelanggan individu termasuk 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Daripada jumlah itu, hanya lima peratus yang tidak mengambil moratorium ditawarkan sejak April lalu.

"Bagi pelanggan yang tidak terjejas dan tidak berhasrat meneruskan moratorium, mereka tidak perlu membalas SMS yang dihantar," katanya pada media selepas majlis penyerahan sumbangan Sadaqa House di sini, semalam.

Menurutnya, Bank Islam bersedia membantu pelanggannya yang terjejas dan menepati kriteria dinyatakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini untuk melanjutkan moratorium atau mengurangkan kadar pembiayaan.

Sementara itu, Sadaqa House yang juga platform pendanaan awam di bawah Bank Islam menyampaikan sumbangan kepada dua rakan strategik iaitu Mercy Mission Malaysia dan Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) serta seorang penerima individu terpilih.

Sumbangan itu meliputi van serbaguna kepada BJCK yang bakal memanfaatkan lebih 80 orang warganya dalam menjalankan aktiviti harian mereka.

Sadaqa House turut menyampaikan bantuan kewangan pengajian tiga tahun kepada Muhammad Fayyadh Haziq Abdul Aziz, pelajar cemerlang dalam program Ijazah Sarjana Kejuruteraan di SEGI College.

Katanya, jumlah keseluruhan sumbangan yang disampaikan Sadaqa House semalam berjumlah hampir RM240,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 7:20 AM