ANWAR beramah mesra dengan warga peneroka Felda pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2023. FOTO BERNAMA
ANWAR beramah mesra dengan warga peneroka Felda pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2023. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Banyak permohonan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), ditunaikan melalui pengumuman beberapa inisiatif dan insentif oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Rata-rata warga Felda di Pahang, Melaka dan Perlis, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan Kerajaan Perpaduan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup dan memelihara kebajikan mereka, termasuk dalam aspek penyediaan infrastruktur, penjagaan kesihatan, pendigitalan dan perumahan.

Di PAHANG, Ketua Felda Selancar 3 di Rompin, Kordi Hussin, 65, berkata pengumuman Anwar membuktikan Perdana Menteri itu amat mengambil berat terhadap golongan peneroka.

"Permintaan kami berhubung lampu jalan dan isu rumah generasi baharu yang terbengkalai antara yang diberi perhatian dan (projek ini) memberikan manfaat besar. Kami amat bersyukur dan gembira dengan pengumuman inisiatif ini," katanya dan berharap Felda akan bertambah maju di bawah pengerusinya yang baharu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Generasi kedua Felda Keratong 5, di Rompin Mohd Sahrin Abdullah, 45, berharap isu Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai tidak lagi berpanjangan, selain kerajaan pada masa akan datang dapat mencari jalan untuk menambah bilangan projek perumahan itu, di tanah rancangan lain.

"Generasi kedua kebanyakan berhijrah ke luar untuk bekerja, namun ada yang mempunyai hasrat mahu kembali ke kampung halaman apabila tua. Jika diperbanyakkan bilangan PGBF, sekurang-kurangnya memberi pilihan kepada mereka untuk memiliki kediaman sendiri, pada harga yang sangat munasabah," katanya.

Sementara di PERLIS, peneroka generasi pertama Felda Rimba Mas, Padang Besar, Rahmah Mohamad menyifatkan inisiatif kesihatan daripada kerajaan itu, menunjukkan keprihatinan terhadap peneroka ketika dihimpit desakan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Rahmah, 73, berkata kesungguhan kerajaan itu menunjukkan bahawa kerajaan peka dengan apa yang peneroka perlukan.

"Alhamdulillah ia cukup bermakna bagi kami generasi peneroka yang kebanyakan telah berumur," katanya.

Berkongsi pendapat sama, Rozi Man, 67, turut mengucapkan terima kasih atas usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan peneroka khususnya peneroka generasi pertama yang kebanyakannya warga emas.

Di MELAKA, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Felda Hutan Percha, Alor Gajah Nizam Baharom memohon agar pusat hemodialisis yang diumumkan itu dibina di kawasan yang berdekatan dengan Felda, agar memudahkan pesakit untuk mendapatkan rawatan.

"Di Melaka, ketiga-tiga FELDA berada agak berhampiran antara satu sama lain dan agak mudah jika hendak ke bandar.

"Jadi perlu ambil kira FELDA yang agak jauh dan tidak akan menyusahkan pesakit nanti," katanya.

Anwar hari ini mengumumkan Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) yang melibatkan peruntukan RM21.21 juta, pembinaan pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta, perbelanjaan untuk kos operasi lampu jalan dengan implikasi kewangan RM7.7 juta setahun dan subsidi diesel RM36 juta setahun bagi tiga Felda di Sabah.

Pada Sambutan Hari Peneroka Felda, beliau turut mengumumkan program Digital MADANI, penyelesaian isu PGBF, usaha membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komoditi lain dan menyatakan komitmen untuk melupuskan 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 9:27 PM