STILWELL
STILWELL
Mahanum Abdul Aziz

PELABUR Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk meneroka peluang baharu bagi meningkatkan pelaburan di Malaysia kerana sangat optimis dengan prospek pertumbuhan negara ini.

Penolong Setiausaha Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik AS, David R Stilwell yang telah mengadakan pertemuan dengan dewan perniagaan AS di negara ini berkata, Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan penting dan menarik bagi pelabur AS di rantau ini.

Menurutnya, antara bidang yang dilihat berpotensi untuk diketengahkan adalah berkaitan ekonomi digital, infrastruktur dan kepelbagaian tenaga.

“Kami berpandangan rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia adalah kawasan yang menyediakan pertumbuhan.

“Pertemuan dengan dewan perniagaan (di sini), mereka sangat optimis dan bulis (dengan prospek negara ini),” katanya pada sidang meja bulat bersama media tempatan sempena lawatannya ke Malaysia di sini, semalam.

Stilwell berkata, kehadiran syarikat AS di negara ini juga bukan hanya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, tetapi juga berkaitan aspek kemanusiaan dan keselamatan.

“Dengan mempunyai operasi yang besar
di Malaysia, syarikat AS juga berkongsi kepakaran dengan rakyat Malaysia menerusi latihan, pendidikan dan perniagaan,” katanya.

Dalam aspek perdagangan dan ekonomi, Stilwell berkata, apa yang dimahukan AS adalah persekitaran yang telus dan adil untuk semua pihak, yang mana manfaatnya akan dinikmati bersama.

Beliau berkata, perdagangan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan jika ia dilaksanakan dengan cara yang betul tanpa campur tangan politik, yang mana kedua-dua pihak dapat menikmati manfaat bersama.

Katanya, rundingan perdagangan antara AS dan China ketika ini bukan saja akan memanfaatkan AS, tetapi juga negara lain yang turut berurus niaga dengan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

“Apa yang AS mahu adalah urus niaga yang adil, kami tidak mahu ada berat sebelah. Kami mahu telus dalam tindakan,” tegasnya.

Beliau berkata, syarikat AS mempunyai modal yang besar dan mereka bersedia untuk melabur di rantau yang menawarkan prospek pertumbuhan yang cerah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 12:44 PM