INDEKS harga pengguna (IHP) negara diunjurkan sederhana antara 2.5 dan 3.0 peratus pada 2023.
INDEKS harga pengguna (IHP) negara diunjurkan sederhana antara 2.5 dan 3.0 peratus pada 2023.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang dengan kadar lebih perlahan kepada 4.3 peratus tahun ini disokong oleh permintaan domestik di tengah-tengah jangkaan kelembapan dalam permintaan luaran.

Ketua Ahli Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Aaditya Mattoo berkata, pertumbuhan penggunaan swasta diramalkan kekal teguh, meskipun pada kadar lebih perlahan kepada 6.3 peratus pada 2023, berbanding 11.3 peratus tahun lalu.

Katanya, ini disokong oleh peningkatan persekitaran pasaran buruh serta langkah sokongan pendapatan berterusan daripada kerajaan.

"Pelaburan diunjurkan meningkat sebanyak 4.4 peratus tahun ini daripada 6.8 peratus pada 2022, mencerminkan aliran berterusan pelaburan modal dalam sektor swasta dan awam," katanya pada Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) Bank Dunia bagi April 2023, secara maya, semalam.

Beliau berkata, mengenai inflasi Malaysia pula, indeks harga pengguna (IHP) negara diunjurkan sederhana antara 2.5 dan 3.0 peratus pada 2023 (2022: 3.3 peratus) memandangkan kekangan bekalan global semakin berkurangan dan harga komoditi yang semakin stabil.

Menurutnya, sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia akan terus menghadapi risiko besar yang berpunca daripada persekitaran luaran.

"Ini termasuk keadaan kewangan global yang lebih ketat, kelembapan yang lebih mendalam dalam ekonomi utama, dan pencerobohan Rusia yang berpanjangan ke atas Ukraine yang boleh menyebabkan kelembapan pertumbuhan global yang lebih buruk daripada jangkaan.

"Melangkah ke hadapan, isi rumah miskin dan rentan yang paling terjejas oleh Covid-19 mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk pulih, memperkukuh keperluan untuk program perlindungan sosial yang berkesan dan disasarkan.

"Rancangan kerajaan untuk mengemas kini pendapatan garis kemiskinan dan indeks kemiskinan pelbagai dimensi adalah tepat pada masanya dan penting untuk memastikan langkah itu sepadan dengan taraf hidup semasa Malaysia," katanya.

Aaditya berkata, Malaysia perlu memperkukuh perjanjian perdagangan dengan dua kuasa besar ekonomi iaitu China dan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, perjanjian antarabangsa dapat membantu negara seperti Malaysia mendapat manfaat menjadi hab, bukannya menjadi ahli blok perdagangan eksklusif semata-mata.

"Malaysia tidak boleh mengetepikan perjanjian perdagangan dengan China dan AS dan menjadi sebahagian daripada blok perdagangan eksklusif," katanya.

Beliau berkata, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) membantu memperkukuhkan integrasi rantau ini dengan China, manakala Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pula gagal mencapai persepaduan dengan AS, sementara Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) pula tidak menjurus kepada perjanjian perdagangan tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 7:00 AM