Ismail Sabri.
Ismail Sabri.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap perniagaan dari Amerika Syarikat (AS) dapat mengambil peluang daripada pelaburan yang ditawarkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Dalam pertemuan dengan US-ASEAN Business Council (US-ABC) hari ini, beliau berkata, RCEP adalah antara pemboleh ubah untuk membantu Malaysia menggiatkan semula aktiviti perniagaan domestik dan antarabangsa.

"Pandemik ini telah menjelaskan kepentingan perdagangan dan kerjasama antarabangsa serta hubungan antara rantaian bekalan serantau.

"Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia terus menjadi ekonomi terbuka, dengan dasar pro-perniagaan dan polisi pragmatik yang menyokong iklim pelaburan di negara ini," kata Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya yang dibacakan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ismail Sabri berkata, Malaysia telah menyelesaikan proses ratifikasinya ke atas perjanjian perdagangan mega dan telah menghantar Instrumen Ratifikasi negara itu kepada Sekretariat Asean di Jakarta.

Perjanjian itu akan berkuat kuasa di Malaysia pada 18 Mac 2022, katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, AS-ABC mempunyai peranan perundingan utama, di mana selama ini ia telah membantu memajukan agenda integrasi serantau sambil meningkatkan hubungan antara AS dan negara anggota Asean, termasuk Malaysia.

"Melihat ke hadapan, dengan memanfaatkan sinergi antara kerajaan dan sektor swasta, saya optimis kita akan dapat membuka laluan ke arah pertumbuhan yang berdaya tahan dan mampan," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, masih terdapat banyak peningkatan untuk masa hadapan yang boleh dijangka, terutamanya jika kedua-dua pihak mengambil kira skala ekonomi yang boleh diperolehi dengan perluasan ke rantau Asean.

Perdana Menteri juga berkata, beliau gembira dengan minat dan penyertaan berterusan AS-ABC dalam menyokong Asean dan Malaysia untuk memupuk agenda transformasi digital.

Beliau berharap ini boleh membawa kepada kerjasama yang lebih besar dalam ruang digital, dengan perniagaan AS memacu penciptaan bakat digital yang tangkas dan cekap di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata, dengan pembabitan tetap antara kerajaan, Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM), dan Kedutaan AS di Kuala Lumpur, ini boleh menyumbang ke arah meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan yang menarik dan hab rantaian bekalan di Asean.

AS telah menjadi rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia sejak 2015.

Walaupun perdagangan global mencatatkan defisit pada 2020, beliau berkata Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 8.2 peratus dalam jumlah perdagangan dengan AS, mencecah AS$42.6 bilion (RM178.6 bilion).

Bagi tempoh Januari-November 2021, jumlah perdagangan Malaysia dengan AS meningkat sebanyak 20.7 peratus kepada AS$47.35 bilion (RM198.54 bilion), berbanding tempoh sama pada 2020.

AS adalah pelabur asing kedua terbesar Malaysia dari segi projek pembuatan yang dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 8:15 PM