MOHIDEEN. FOTO Mikail Ong
MOHIDEEN. FOTO Mikail Ong


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) perlu dikekalkan demi menjaga kepentingan hak penumpang penerbangan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, sejak penubuhan Mavcom, terdapat gesaan oleh sesetengah pihak dalam industri penerbangan supaya suruhanjaya itu dimansuhkan.

“Alasan yang sering diberikan ialah Mavcom menghalang pertumbuhan industri penerbangan Malaysia.

“Alasan ini biasa digunakan oleh syarikat penerbangan sebagai satu cara untuk menggambarkan Mavcom secara negatif.

“Bagaimanapun, bagi kami persatuan yang mendengar dan mengendalikan aduan pengguna, kami tahu bahawa Mavcom adalah anugerah kepada penumpang penerbangan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini, aduan penumpang penerbangan sering tidak diselesaikan disebabkan syarikat penerbangan tidak perlu bertangungjawab terhadap tindakan mereka.

“Penumpang penerbangan biasanya mengadu mengenai isu berkaitan bayaran semula, pengendalian bagasi dan tidak dimaklumkan mengenai penangguhan/pembatalan penerbangan.

“Apabila CAP atau penumpang sendiri membawa aduan ini untuk perhatian mereka, syarikat penerbangan tiada masalah untuk mengelakkan tanggungjawab mereka kerana mereka tidak perlu menjawab kepada sesiapa dan tidak terdapat ruang bagi penumpang penerbangan untuk mengajukan keluhan mereka,” katanya.

Katanya, disebabkan Mavcom, industri kini mempunyai Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) yang menyatakan hak penumpang penerbangan dan syarikat penerbangan perlu mengambil kira aduan penumpang.

“Kami mengesyaki bahawa inilah alasan sebenar kenapa syarikat penerbangan terus menyerang Mavcom.

“Mereka tidak lagi mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian dengan menjejaskan pelanggan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 11:08 AM