ABDUL Gani. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Gani. FOTO Arkib NSTP
Luqman Arif Abdul Karim


PELBAGAI tuduhan yang dilemparkan terhadap Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), termasuk cuba mengambil alih peranan agensi lain, disifatkan sebagai tidak berasas.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pemandu bagi menubuhkan MAVCOM, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata suruhanjaya itu adalah agensi penyelia bebas yang tidak mempunyai sebarang pertalian terhadap kos dilaksanakan kerajaan atau saiz sesebuah kerajaan.

Beliau sebaliknya berkata, suruhanjaya itu ditubuhkan pada 1 Mac 2016 susulan ledakan perubahan dalam landskap penerbangan awam, selain keperluan untuk melindungi hak dan keselamatan pengguna.

“Sejak kebelakangan ini pelbagai tuduhan palsu terhadap MAVCOM semakin viral di media sosial dan menerusi beberapa penerbitan.

“Sebagai bekas Ahli Jawatankuasa Pemandu bagi merencana kerangka MAVCOM, saya rasa kita perlu memastikan sebarang kenyataan dibuat bersandarkan fakta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Gani berkata, penerima manfaat terbesar susulan penubuhan MAVCOM adalah pengguna industri penerbangan awam, iaitu mencakupi jaminan terhadap pelbagai isu yang membabitkan penjualan tiket, kelewatan pesawat atau kerosakan terhadap bagasi.

Katanya, rangkaian masalah berkenaan adalah tertakluk kepada bidang kuasa dan peranan yang perlu digalas oleh MAVCOM dalam melindungi hak serta keselamatan penumpang penerbangan awam.

“Aduan anda perlu dibalas dalam tempoh tujuh hari dan diselesaikan mengikut jangka maksimum 30 hari. Justeru, tiada lagi keperluan untuk bergantung kepada pertimbangan entiti komersial atau dibelenggu ketidakpastian setiap kali berdepan masalah.

“Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak menawarkan perkhidmatan seperti ini, maka dakwaan bahawa MAVCOM cuba mengambil alih peranan kedua-dua entiti berkenaan adalah salah.

“Saya pasti pengguna yang mendapat khidmat nasihat dan perkhidmatan daripada MAVCOM memperakui kepentingan menubuhkan suruhanjaya bebas ini demi manfaat mereka,” katanya.

Menyentuh mekanisme perlindungan MAVCOM, Abdul Gani berkata, penumpang hanya menyumbang RM1 apabila berlepas dari lapangan terbang di negara ini, sekali gus mencerminkan ia pelaburan berbaloi dalam memastikan tiada isu berbangkit sepanjang perjalanan.

Selain itu, katanya, penumpang yang menggunakan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada bayaran berkenaan.

“Sukar digambarkan betapa pentingnya penubuhan MAVCOM kerana pengguna ketika ini berdepan pelbagai situasi luar jangka yang membabitkan hak mereka dicabuli. Justeru, kita memerlukan suruhanjaya bebas untuk menggalas peranan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 9:20 PM