Wisma DRB-Hicom.
Wisma DRB-Hicom.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) mencatat perolehan bernilai RM2.12 bilion untuk tempoh tiga bulan sehingga 30 September 2021 (S3 21) berikutan kawalan pergerakan yang telah

mengehadkan aktiviti perniagaan merangkumi seluruh Kumpulan.

Ia adalah penurunan 40.5 peratus berbanding suku sama tahun 2020, di mana pendapatan

dicatat pada RM3.56 bilion.

Namun, untuk tempoh sembilan bulan sehingga September lalu, pendapatan DRB-Hicom hanya susut 0.6 peratus kepada RM8.25 bilion berbanding RM8.31 bilion setahun yang lalu.

DRB-Hicom dalam kenyataan berkata, sejajar dengan ini, ia merekodkan kerugian pracukai bernilai RM201.42 juta pada S3 21.

Bagi tempoh sembilan bulan sehingga September, kerugian pracukai Kumpulan dicatat pada RM444.64 juta.

"Seperti diramalkan, pendapatan bagi Sektor Automotif DRB-Hicom merosot untuk

tempoh tiga bulan hingga 30 September, dengan catatan RM1.27 bilion akibat aktiviti jualan yang terhenti di bawah perintah kawalan pergerakan.

"Namun, bagi tempoh sembilan bulan hingga September, sektor ini mencatat peningkatan perolehan sebanyak 4.0 peratus kepada RM5.63 bilion, berbanding RM5.41 bilion untuk tempoh sama tahun 2020.

"Proton sekali lagi mendahului tangga jualan dalam tempoh ulasan, dengan syarikat kereta nasional itu meningkatan pegangan pasaran berbanding tahun lalu.

"Sebanyak 71,244 unit kereta Proton telah dijual dalam tempoh sembilan bulan hingga September,

memberikannya pegangan pasaran terkini sebanyak 22 peratus berbanding 21 peratus untuk

tempoh sama 2020," katanya.

Menurutnya, untuk tempoh sembilan bulan ini, kebanyakan jenama kenderaan di bawah naungan DRB-Hicom telah mengukuhkan atau mengekalkan kedudukan mereka pada carta jualan nasional.

"Isu seperti bekalan komponen masih menjadi cabaran kepada industri, tetapi usaha pembaikan terus dipertingkatkan agar bekalan dapat memenuhi permintaan tertunggak bagi kenderaan.

"Pelanjutan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang sehingga Jun 2022 dijangka akan mengekalkan permintaan tinggi untuk pembelian kereta baharu," katanya.

Dalam pada itu, DRB-Hicom berkata, perolehan S3 21 untuk Sektor Perkhidmatan turun 9.0 peratus kepada RM835.21 juta, sekali lagi akibat penurunan pendapatan di Pos Malaysia.

"Bagi tempoh sembilan bulan, sektor ini mencatat perolehan bernilai RM2.49 bilion, susut 5.0 peratus berbanding tempoh sama tahun 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 7:01 PM