Bangunan Wisma DRB-Hicom.
Bangunan Wisma DRB-Hicom.
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Kumpulan DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) mencatatkan perolehan bernilai RM2.62 bilion untuk tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2021 (SK2 21), peningkatan 30.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu (TK2020).

Sementara itu, bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021 (SP1 21), perolehan dicatat pada RM6.13 bilion iaitu naik 29.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kumpulan merekodkan kerugian pracukai sebanyak RM279.53 juta untuk SK2 21, manakala kerugian pracukai bagi SP1 21 berjumlah RM243.22 juta.

Ini adalah pemulihan jika dibandingkan dengan nilai kerugian yang lebih tinggi bagi tempoh-tempoh sama dalam TK2020, di mana masing-masing mencatatkan kerugian lebih besar pada RM365.80 juta dan RM511.11 juta.

DRB-Hicom dalam kenyataan berkata, meskipun mengalami tekanan jualan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan Sektor Automotif DRB-Hicom meningkat 52 peratus berbanding 2020, kepada RM4.35 bilion.

Pencapaian ini sebahagian besarnya didorong prestasi jualan kenderaan oleh syarikat automotif nasional Proton dan jenama kenderaan lain di dalam Kumpulan, serta pendapatan dari syarikat pembuatan dan kejuruteraan seperti PHN Industry Sdn Bhd dan Hicom-Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd.

Pendapatan dicatat pada jumlah RM1.78 bilion untuk SK2 21, meningkat sebanyak RM721 juta atau 68 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2020.

Namun, tempoh PKP yang berpanjangan ini dijangka akan mempengaruhi jumlah penjualan tahunan kerana pusat-pusat pameran untuk Proton, Honda, Mitsubishi, Volkswagen, Isuzu dan Tata masih kekal ditutup di beberapa negeri sekalipun 11 sektor ekonomi dibuka semula baru-baru ini.

Sementara itu, Kompleks Automotif Hicom di Pekan, Pahang mendapat kebenaran untuk beroperasi selepas negeri pantai timur memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN), namun vendor dan pembekal yang berpusat di Lembah Klang masih ditutup dan bekalan komponen kekal terhenti.

Menurutnya, untuk prospek tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, DRB-Hicom yakin sektor automotif kekal sebagai teras perniagaan Kumpulan.

Dengan pelaksanaan PKP secara menyeluruh yang telah menyebabkan terhentinya penjualan kenderaan, Proton dan jenama kenderaan lain di dalam Kumpulan akan menumpukan usaha untuk menyusun semula rancangan penjualan mereka.

"Untuk baki tahun 2021, Kumpulan sedang mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk membentuk semula perniagaannya agar ia kekal kompetitif dalam persekitaran yang tidak dapat diramalkan.

"Keputusan kerajaan untuk melanjutkan pengecualian cukai penjualan untuk kenderaan penumpang sehingga 31 Disember 2021 dijangka meningkatkan permintaan secara keseluruhannya pada tahun ini," katanya.

Katanya, perniagaan DRB-Hicom yang lain dalam segmen pertahanan, aeroangkasa, perbankan, perkhidmatan dan hartanah akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan tunai yang berhemah bagi memastikannya dapat terus bertahan di sebalik lanskap perniagaan yang mencabar disebabkan pandemik ini.

"Berdasarkan apa yang dinyatakan, Kumpulan tetap berhati-hati dengan prestasi kewangan untuk tahun berakhir 31 Disember 2021 mengambil kira ketidakpastian yang meningkat di sebalik impak ekonomi yang sepenuhnya dari pandemik Covid-19 yang berpanjangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 8:10 PM