MAJLIS pelancaran pusat 3S Proton di Sabah.
MAJLIS pelancaran pusat 3S Proton di Sabah.
Nabil Basaruddin


PROTON Holdings Berhad (Proton) mengukuhkan kedudukannya dengan menjadi jenama automotif yang mempunyai cawangan 3S/4S paling banyak di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, usaha pengembangan cawangan serta perancangan menaik taraf cawangan untuk jenama Proton giat dilaksanakan secara berterusan sejak April tahun lalu.

Beliau berkata, melalui inisiatif yang dijalankan itu, ketika ini terdapat 91 cawangan baharu pusat 3S/4S dalam rangkaian syarikat pengeluar kereta nasional itu.

“Kami gembira dengan kejayaan yang dicapai di mana cawangan baharu yang dinaik taraf berserta strategi peningkatan produk memberi tambah nilai kepada persepsi jenama Proton selain angka penjualan yang lebih tinggi.

“Malah, kami juga dapat melihat perubahan pada pilihan pengguna apabila Proton memperoleh populariti dari segi pilihan jenama.

“Perkara berkenaan turut membawa kepada angka pegangan pasaran sebanyak 18.1 peratus untuk Jun tahun ini, pencapaian terbaik syarikat sejak Julai 2015,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Proton, melalui Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn Bhd membuka satu lagi pusat 3S Proton di Sabah.

Cawangan baharu terbabit terletak di Lahad Datu dan yang kedua selepas pusat 3S dibuka oleh Fook Loi di Sandakan tahun lalu.

Selain itu, cawangan 3S di Lahad Datu itu juga adalah yang pertama dibuka oleh pengedar Sabah, yang turut menampilkan warna identiti korporat baharu Proton.

Sebagai pusat 3S, ia menawarkan kemudahan jualan, servis dan alat ganti untuk semua kereta Proton.

Kos bagi kerja pengubahsuaian dan menaik taraf cawangan baharu itu bernilai RM2 juta.

Suasana premium dan kawasan menunggu pelanggan yang akan memberikan keselesaan untuk melihat kereta baharu Proton dan menunggu kereta yang dihantar untuk diservis.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Fook Loi, Thomas Chiu Kui Yin berkata, pihaknya percaya model baharu dan yang dipertingkat adalah penyumbang kepada pertumbuhan jualan Proton pada tahun ini.

“Proton sinonim dengan kebanggaan negara dan dengan teknologi baharu yang dipasang pada keretanya, ia kembali menjadi jenama kebanggaan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 11:09 AM