DR Li
DR Li
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) menerusi majlis menandatangani bersama kumpulan pertama bagi Perjanjian Naik Taraf Rangkaian Pengedar dengan empat pengedarnya sebagai menghargai penambahbaikan cawangan masing-masing menjadi pusat 3S dan 4S.

Perjanjian terbabit disempurnakan Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa dengan Pengarah Baiduri Auto Sdn Bhd, Azry Ibrahim, Pengarah Urusan Bunga Raya Auto Credit Sdn Bhd, Lee Chee Hong Pengarah Setia Gemilang Auto Sdn Bhd, Andrew Quek Tze Kean dan Pengarah Vantage Speed Sdn Bhd, Datuk Seri Tee Boon Kee.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed serta barisan pengurusan kanan syarikat pengeluar kereta nasional itu.

Li berkata, pihaknya teruja terhadap empat pengedar yang menerima cadangan perniagaan yang ditawarkan Proton dan menggalakkan mereka yang lain akan melakukan perkara yang sama.

Beliau berkata, cawangan yang telah dinaik taraf akan menjadi pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan penting seperti pejabat jualan, perkhidmatan selepas jualan, jualan alat ganti serta perkhidmatan membaiki dan mengecat.

“Sekarang anda tidak perlu pergi dari satu tempat ke tempat lain untuk membaiki kereta anda. Kami akan memastikan cawangan yang dinaik taraf dapat memenuhi semua keperluan jualan dan perkhidmatan yang dapat menjimatkan masa anda.

“Proton bukan saja menjual kereta tetapi juga menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan kerana menyediakan pengalaman kelas pertama kepada pelanggan adalah sangat penting kepada syarikat dan jenama kami,” katanya dalam kenyataan.

Cawangan berkenaan bakal merangkumi penampilan dan persekitaran yang baru di samping hampir semua cawangan akan dinaik taraf daripada status pusat 1S atau 2S.

Pusat 3S dan 4S yang dinaik taraf membolehkan pengedar menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih cekap dan memberikan pengalaman yang dipertingkatkan kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 8:44 AM