PENGEDAR Red Bull Malaysia optimis capai sasaran jualan walaupun berdepan pelaksanaan cukai gula. FOTO Nurul Shafina Jemenon
PENGEDAR Red Bull Malaysia optimis capai sasaran jualan walaupun berdepan pelaksanaan cukai gula. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Nabil Basaruddin


SUBANG JAYA: Allexcel Trading Sdn Bhd, pengedar tunggal minuman tenaga Red Bull di Malaysia, optimis untuk mencapai sasaran jualan pada tahun ini meskipun bakal berdepan pelaksanaan cukai gula pada 1 Julai ini.

Ketua Komersialnya, Edmund Lee berkata, sebagai persediaan, pihaknya akan melaksanakan beberapa strategi bersepadu bagi memastikan produk minumannya terus mendapat permintaan kukuh dalam pasaran tempatan.

Beliau berkata, strategi berkenaan termasuk komitmennya untuk terus melabur dan menjalankan penyelidikan bagi memahami kehendak dan tabiat pengguna bagi penghasilan produk berdasarkan kehendak orang ramai.

“Kami akan terus laksanakan penyelidikan dan tinjauan supaya lebih berasa dekat dengan pengguna dan mengetahui apa sebenarnya yang mereka mahukan selain dapat memperbaiki mutu dan kualiti produk sedia ada.

“Sebagai peneraju industri, kami sentiasa melakukan tinjauan setiap tahun dan selepas ini kami akan membuatnya dengan lebih kerap dan mendalam.

“Inisiatif ini adalah disebabkan kami mahu menjadi lebih efektif dari segi menyampaikan mesej menerusi komunikasi termasuk penjejakan, soal selidik dan pasca penilaian,” katanya.

Sementara itu, Lee berkata, pihaknya juga yakin untuk mengekalkan kedudukannya dalam segmen minuman tenaga nombor satu di Malaysia dipacu oleh permintaan dan inovasi produk.

Beliau berkata, dengan kehadiran selama lebih 30 tahun dalam pasaran tempatan, jenama Red Bull mempunyai kira-kira 47 peratus pegangan pasaran untuk minuman tenaga.

“Kami akan terus melaksanakan inovasi dalam memastikan ia terus kekal relevan dan menepati kehendak serta keperluan rakyat Malaysia.

“Red Bull adalah perintis bagi minuman tenaga di negara ini dan kami akan terus menawarkan produk berkualiti tinggi supaya ia selari dengan keperluan orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 8:40 AM