Kuala Lumpur: BBCC Development Sdn Bhd (BBCC Development), pemaju bagi projek pembangunan Bukit Bintang City Centre (BBCC) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Zepp Hall Network Inc (Zepp) bagi menyediakan infrastruktur dewan konsert di pusat beli-belah BBCC.

Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, MoU berkenaan antara lain membolehkan Zepp menyediakan sistem lengkap untuk dewan konsert yang dijangka mampu memuatkan sehingga 2,500 penonton.

“Dewan ini adalah sebahagian daripada komponen pusat beli-belah BBCC dan dijangka menjadi antara tarikan pelancong untuk berkunjung ke sini,” katanya selepas majlis menandatangani MoU di sini.

Menurutnya, kos penyediaan sistem dijangka menelan belanja sehingga RM100 juta dan ia akan menjadi dewan konsert pertama di bawah pengurusan Zepp di Asia Tenggara.

“Dewan ini akan menjadi yang pertama di rantau ini di bawah kendalian Zepp dan selepas ini, mereka juga akan mendapatkan kontrak di Singapura dan Indonesia,” katanya.

Zepp yang juga anak syarikat Sony Music Entertainment Japan setakat ini mengendalikan enam dewan konsert di Jepun.

Sementara itu, Johari berkata pihaknya kini sedang dalam peringkat akhir untuk menyerahkan permohonan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan arahan pembinaan akan dikeluarkan dalam tempoh kurang enam bulan.

Malah, menurutnya beberapa pihak turut menyatakan minat untuk menjalankan operasi hotel di BBCC dengan pemilihan dijangka dibuat untuk hotel bertaraf lima atau enam bintang dengan jenama yang belum beroperasi di Malaysia.

BBCC akan dibangunkan dengan tiga komponen utama yang meliputi menara yang menempatkan ruang pejabat, ruang komersil dan kediaman.

Keseluruhan projek menelan belanja sebanyak RM6 bilion dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lapan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:10 AM