RAJA Kamarul Bahrin (tengah) melihat model bangunan selepas merasmikan ekspo hartanah The People’s Property Expo 2018, semalam.
RAJA Kamarul Bahrin (tengah) melihat model bangunan selepas merasmikan ekspo hartanah The People’s Property Expo 2018, semalam.
Nurhayati Abllah


Petaling Jaya: Dasar perumahan baharu yang diperkenalkan kerajaan akan membolehkan pasaran hartanah Malaysia dijangka kembali rancak tahun depan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, pasaran hartanah Malaysia pada masa ini agak mencabar namun masih berpotensi.

“Hasil penyelidikan dan jangkaan daripada badan perundingan yang boleh dipercayai menunjukkan pasaran secara rawak akan meningkat secara perlahan selepas ada peningkatan keyakinan serta kewujudan sentimen baharu dalam pasaran.

“Pasaran hartanah kini tidak terlalu teruk dan masih positif meskipun sedikit perlahan. Ia dijangka akan lebih baik pada tahun depan kerana kerajaan akan mengumumkan beberapa dasar perumahan baharu dalam tempoh satu atau dua bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ekspo hartanah The People’s Property Expo 2018 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin berkata, pihaknya yakin menerusi pengumuman dasar perumahan baharu oleh kerajaan akan merangsang pertumbuhan pasaran dan memberikan dimensi berbeza dalam semua peringkat perumahan negara.

Selain itu, katanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang meneliti dan mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak merangkumi semua peringkat perumahan dalam usaha untuk menjadikan sektor hartanah tempatan lebih dinamik.

“Dalam hal ini, sekali lagi saya tegaskan mengenai kepentingan mewujudkan pangkalan data yang mengandungi pelbagai maklumat pemilikan rumah bagi memastikan pengagihan menepati sasaran serta keperluan mereka yang layak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, rumah mampu milik dan perumahan rakyat miskin akan terus menjadi keutamaan kerajaan.

Katanya, ia satu cabaran untuk pemaju swasta dan badan kerajaan kerana sistem itu perlu diperkemaskan terutama dari segi pengagihan rumah mampu milik kepada golongan yang layak serta memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 9:07 AM