SYED Faisal (kanan) dan   Dr Li  menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, semalam.
SYED Faisal (kanan) dan Dr Li menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, semalam.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Pelan pemulihan Proton Holdings Bhd (PROTON) berada pada landasan tepat terutama dengan keyakinan syarikat kereta nasional itu untuk melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pada suku keempat tahun ini.

Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, pihaknya turut memberikan taklimat lanjut kepada Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) mengenai rakan kongsinya, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Zhejiang Geely) berkaitan potensi usaha sama strategik itu.

“Memandangkan jenama Geely kurang dikenali dalam pasaran Malaysia, ia adalah tanggungjawab kami untuk memberikan penjelasan terhadap potensi dan manfaatnya,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan bersama MPK di sini, semalam.

Syed Faisal berkata, Geely yang berpangkalan di Hangzhou, China akan menjemput Dr Mahathir untuk mengunjungi fasiliti syarikat itu apabila Perdana Menteri dijadualkan melawat negara berkenaan bulan depan bagi mendedahkan kemajuan teknologi yang ada.

“Ia juga adalah peluang yang baik kepada Geely untuk mempamerkan kemampuan dan kekuatannya di samping teknologi yang ditawarkannya dalam pasaran automotif dunia,” katanya.

Setakat ini, Geely mempunyai 80,000 kakitangan dan mempunyai lebih 850 pengedar di seluruh China dengan 450 titik jualan dan perkhidmatan antarabangsa membabitkan 40 negara.

Tahun lalu, rakan kerjasama strategik PROTON itu menjual kira-kira 1.25 juta kereta.

Mengulas mengenai potensi rakan strategik itu, Syed Faisal berkata, ia dapat dibuktikan apabila pada Februari tahun ini, Geely menjadi pemegang saham terbesar Daimler yang memiliki jenama Mercedes-Benz pada harga AS$9 bilion.

“Malah, Geely juga adalah pemilik Volvo Car Corporation dan The London Taxi Company serta firma automotif yang mempunyai teknologi kereta terbang di California, Amerika Syarikat.

“Berdasarkan rekod dan prestasi Geely, kami turut memaklumkan kepada MPK bahawa Geely adalah rakan kerjasama yang bertepatan dalam membawa PROTON ke tahap lebih tinggi,” katanya.

DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) memuktamadkan persetujuan dengan Geely bagi menjual 49.9 peratus saham PROTON pada Jun tahun lalu.

Ia membolehkan PROTON mendapat akses kepada pelbagai platform serta enjin yang dibangunkan Geely, selain peluang menembusi pasaran sedia ada termasuk pasaran Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 10:55 AM