DR Mahathir  menyaksikan majlis perjanjian persefahaman antara  Syed Faisal (dua dari kiri) dengan Presiden Kumpulan Zhejiang Geely Holding, An Conghui  ketika  membuat lawatan kerja lima hari ke China.
DR Mahathir menyaksikan majlis perjanjian persefahaman antara Syed Faisal (dua dari kiri) dengan Presiden Kumpulan Zhejiang Geely Holding, An Conghui ketika membuat lawatan kerja lima hari ke China.
Mohd Zaky Zainuddin

Kuala Lumpur: Kemasukan Proton Holdings Bhd (PROTON) ke pasaran China bakal membuka peluang besar kepada syarikat automotif tempatan itu untuk berkembang di pasaran terbesar dunia itu.

Penganalisis dan peserta pasaran berpendapat, langkah berkenaan sesuatu yang positif untuk meneroka pasaran utama dunia dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran domestik.

PROTON mengumumkan ia memeterai perjanjian utama dengan rakan strategiknya, Zheijang Geely Holding Group (Geely) bagi mewujudkan syarikat usaha sama (JV) bagi mengeluarkan dan menjual kenderaan Proton di China

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar dipetik berkata, model baru yang dilancarkan daripada syarikat JV akan berdasarkan portfolio sedia ada Geely, manakala PROTON akan melaksanakan reka bentuk luaran kenderaan.

RHB Research berkata, ia adalah satu keputusan perniagaan yang strategik untuk mengukuhkan pertumbuhan pengeluar kereta nasional itu.

“Platform sedia ada PROTON akan dipertimbangkan jika ia sesuai untuk pasaran China dengan kenderaan elektrik menjadi fokus utama.

“Langkah ini juga menyediakan peluang kepada vendor untuk membekalkan komponen kepada syarikat JV jika ia menepati keperluan,” kata RHB Research dalam satu nota penyelidikan.

Dalam pada itu, Sabtu lalu, PROTON dan Geely memeterai perjanjian untuk mewujudkan kemudahan pengeluaran di China menerusi penubuhan syarikat JV dengan penguasaan kepentingan yang setara.

Perjanjian yang dimeterai dua entiti itu disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika lawatan kerja lima hari beliau ke China.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari berkata, kerjasama PROTON-Geely membolehkan jenama kereta nasional itu memahami pasaran dan piawaian yang diperlukan di China, sekali gus membuka lembaran baru kepada PROTON memanfaatkan peluang di negara berkenaan.

Katanya, dengan pasaran Malaysia yang terhad untuk PROTON mengekalkan pertumbuhan, pelan perniagaan yang merangkumi eksport adalah sesuatu yang wajar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 10:38 AM