Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Boost, aplikasi dompet mudah alih inovatif menyasarkan untuk memiliki sebanyak 100,000 rakan niaga menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Christopher Tiffin berkata, pada masa ini aplikasi itu memiliki lebih daripada 800,000 pengguna dan ia bekerjasama dengan rakan niaga konvensional dan atas talian di 5,000 lokasi seluruh negara.

“Kira-kira 50 peratus daripada rakan niaga kami kini terdiri daripada rakan niaga tunai, 30 peratus (rakan niaga peruncitan) manakala selebihnya rakan niaga atas talian,” katanya pada taklimat media Boost di sini, semalam.

Boost adalah aplikasi mudah alih yang dibangunkan secara tempatan bagi memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia untuk membayar, menghantar, meminta dan menyimpan wang di telefon pintar.

Ia menawarkan pelbagai ciri dan fungsi termasuk Imbas dan Bayar serta Hantar/ Mohon Wang di mana ia akan memudahkan dan memberikan pengalaman menarik kepada pengguna aplikasi terbabit.

BOOST akan memperkenalkan beberapa ciri baru yang menawarkan angpau bermula 30 Januari hingga 28 Februari depan.
BOOST akan memperkenalkan beberapa ciri baru yang menawarkan angpau bermula 30 Januari hingga 28 Februari depan.

Beliau berkata, pihaknya amat teruja untuk membawa pengalaman digital yang lancar dan selamat kepada rakyat Malaysia melalui telefon pintar masing-masing dengan memperkenalkan aplikasi terbabit.

“Matlamat kami adalah untuk menjadi kemudahan pilihan pelanggan dalam melakukan transaksi secara digital dan kami percaya hasrat ini mampu dicapai melalui kombinasi keperluan gaya hidup pengguna masa kini dan teknologi digital inovatif,” katanya.

Sementara itu, Boost melancarkan kempen Paint The Town Red sempena sambutan Tahun Baru Cina di mana pengguna boleh mengimbas kod QR merah di semua tempat rakan niaga atas talian dan konvensional di seluruh negara bagi transaksi harian masing-masing.

Beliau berkata, Boost akan memperkenalkan beberapa ciri baru yang menawarkan angpau bermula 30 Januari hingga 28 Februari 2018.

“Individu yang akan menerima angpau adalah mereka yang melakukan pembayaran dengan Boost di cawangan fizikal dan atas talian, membeli baucar digital, tambah nilai prabayar dan pembayaran bil prabayar Celcom,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 2:52 AM