MODEL menunjukkan ciri-ciri aplikasi Boost di Kuala Lumpur.
MODEL menunjukkan ciri-ciri aplikasi Boost di Kuala Lumpur.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Boost, aplikasi dompet elektronik (e-dompet) yang dibangunkan Axiata Digital menyasarkan peningkatan penggunanya kepada empat juta menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Christopher Tiffin berkata, jumlah berkenaan mampu dicapai berdasarkan kepada prestasi aplikasi itu yang ketika ini mencecah 2.5 juta sejak ia diperkenalkan tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya yakin strategi berterusan dalam memberikan ganjaran dan maklumat mengenai aplikasi itu mampu menjadi pemangkin kepada pertambahan pengguna pada masa depan.

“Kami berbeza dengan penyedia e-dompet lain kerana Boost menawarkan ekosistem pembayaran bersepadu kepada penggunanya, malah lebih dari sekadar aplikasi pembayaran mudah alih.

“Malah, kami berharap ia menjadi platform pilihan orang ramai kerana ia mempunyai kapasiti serba lengkap, cekap dan mudah digunakan,” katanya pada majlis pengenalan ciri baru Boost di sini.

TIFFIN
TIFFIN

Majlis itu menyaksikan Boost memperkenalkan beberapa ciri baru menjadikannya lebih bersepadu sekali gus menjadi pelengkap kepada ekosistem pembayaran di Malaysia.

Antara ciri itu termasukkaedah pembayaran parkir di kawasan utama di Lembah Klang seperti di Bangsar, Mont Kiara dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) serta bayaran utiliti meliputi Telekom, Astro dan Syabas.

Tiffin berkata, pengguna dapat menikmati ciri lain seperti ganjaran segera selepas setiap transaksi pembayaran dan tetapan peringatan secara automatik selain memberikan sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) dan Tabung Bersamamu oleh Media Prima Bhd.

“Malah, bagi setiap goncangan ganjaran ke-10, kami berjanji menyumbang RM1 kepada THM yang sudah berjalan dan berakhir pada penghujung musim perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan peningkatan rakan dagangnya kepada 100,000 pada penghujung tahun ini berbanding 25,000 setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 12:51 AM