ONG (dua dari kiri)  bersama Dr Magdi  (dua dari kanan), Rahul  (kiri) dan  Alois   melancarkan Nestle Procurement Hub di Malaysia di Petaling Jaya, semalam.
ONG (dua dari kiri) bersama Dr Magdi (dua dari kanan), Rahul (kiri) dan Alois melancarkan Nestle Procurement Hub di Malaysia di Petaling Jaya, semalam.
Nabil Basaruddin

Petaling Jaya: Nestle, pengeluar makanan dan minuman terbesar dunia memilih Malaysia sebagai salah satu daripada tiga Hab Pemerolehan Global Kumpulan yang dikenali sebagai Nestrade kerana kelebihan negara ini yang lengkap dengan infrastruktur, mesra pelabur dan bakat industri.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Operasi Nestle SA, Dr Magdi Batato berkata, sebagai pasaran Asia terpenting bagi Nestle, Malaysia dipilih selari dengan kepesatan permintaan dan perkembangan persekitaran perniagaan yang mampan di negara ini.

Beliau berkata, hab pemerolehan global berkenaan bakal menyediakan sokongan pemerolehan strategik bagi kumpulan Nestle dalam menawarkan penyelesaian kompetitif dan inovatif dalam mencapai keseluruhan objektif syarikat.

“Berdasarkan rekod pencapaian kejayaan setakat ini, Malaysia adalah negara paling sesuai untuk membangunkan hab ini dalam merealisasikan wawasan kecemerlangan Nestle.

“Hab pemerolehan ini juga adalah sebahagian daripada Wawasan 2020 Pemerolehan Nestle bertujuan meningkatkan tahap penciptaan nilai bagi perniagaan kumpulan.

“Hab di Malaysia membolehkan kami menjana nilai tambah kepada perniagaan dengan memberi tumpuan kepada kecekapan, kualiti, keselamatan dan ketersediaan dalam semua aktiviti pemerolehan kami,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran hab terbabit di sini, semalam.

Hab pemerolehan itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad Alois Hofbauer dan Ketua Hab Pemerolehan Nestrade Malaysia Rahul Vashistha.

Hab yang berkeluasan 23,000 kaki persegi itu turut berperanan untuk mengumpulkan bahan-bahan dan perkhidmatan yang diperlukan dari seluruh dunia bagi memenuhi keperluan lebih 100 negara di peringkat global.

Selain itu, pasukan berpengalaman terdiri daripada 130 kakitangan turut ditugaskan untuk memantau di samping melaksanakan aktiviti pemerolehan di hab itu bagi pasaran Nestle di seluruh dunia.

Ong berkata, negara semakin menghampiri pencapaian matlamat Program Transformasi Ekonomi di mana kerajaan kini memberi tumpuan dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan negara kompetitif dunia menjelang 2020.

“Kerajaan amat berbesar hati Nestle memilih Malaysia sebagai satu daripada tiga hab pemerolehannya yang memberi gambaran positif terhadap potensi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 3:33 AM