NESTLE menghasilkan 92 juta tan pelepasan gas rumah hijau pada 2018.
NESTLE menghasilkan 92 juta tan pelepasan gas rumah hijau pada 2018.

NESTLE Global berikrar untuk melabur 3.2 bilion Swiss Franc (RM14.49 bilion) dalam hala tujunya yang baharu dilancarkan untuk mengurangkan separuh daripada pelepasan karbonnya menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih pada 2050.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Mark Schneider berkata, dalam tempoh lima tahun pertama sehingga 2025, 1.2 bilion Swiss Franc (RM5.43 bilion) daripada jumlah pelaburan itu akan diperuntukkan khas untuk amalan pertanian berjana semula.

"Pelaburan ini akan dibiayai terutama menerusi kecekapan operasi dan struktur untuk memastikan pendapatan inisiatif ini tetap neutral.

"Kami mempunyai peluang unik untuk menangani perubahan iklim memandangkan kami beroperasi di hampir semua negara di dunia dan mempunyai saiz, skala dan capaian untuk membuat kelainan," katanya dalam pelancaran Hala tuju Sifar Bersih Nestle, secara maya, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Operasi Nestle, Magdi Batato berkata, syarikat itu menghasilkan 92 juta tan pelepasan gas rumah hijau pada 2018.

"Dengan hampir dua pertiga daripada pelepasan kami adalah daripada pertanian, itu sebabnya fokus utama kami akan tertumpu kepada pertanian berjana semula untuk mencapai hasrat sifar bersih.

"Kami akan merancang tugas kami dalam tiga fasa, bermula hari ini sehingga 2025. Kami akan mempercepatkan dan mengembangkan hasrat untuk mencapai 20 peratus daripada pengeluaran garis dasar kami pada 2018.

"Kedua, mulai 2025, kami akan mengubah operasi dengan melabur dalam teknologi dan membuat perubahan dasar kepada portfolio. Ini akan selesai menjelang 2030 dan memberikan 50 peratus pengurangan pelepasan," katanya.

Beliau berkata, pada fasa akhir antara 2030 dan 2050, syarikat akan terus membasmi pelepasan itu menerusi penyelesaian berasaskan semula jadi dan berkualiti tinggi yang akan memanfaatkan masyarakat dan ekosistem secara keseluruhan.

Magdi berkata, rancangan pelepasan sifar bersih itu akan membabitkan kerjasama rapat dengan lebih 500,000 petani dan 150,000 pembekal di 187 negara untuk menyokong mereka melaksanakan amalan pertanian berjana semula.

"Di Malaysia, kami bekerjasama dengan pembekal kami untuk memulihkan laluan migrasi haiwan dengan menanam pokok asli di sepanjang sungai Kinabatangan (di Sabah) serta menanam lebih banyak pokok di seluruh negara Asia yang lain," katanya.

Mengenai operasinya, Nestle berharap dapat menyiapkan peralihan 800 lokasinya di seluruh dunia untuk beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga elektrik boleh baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Syarikat akan menukar kenderaan kami di seluruh dunia kepada pilihan pelepasan yang lebih rendah serta mengurangkan dan mengimbangi perjalanan perniagaan menjelang 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 7:52 AM