Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik kepada syarikat multinasional (MNC) dunia apabila semakin banyak syarikat berminat menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat operasi untuk mengukuhkan perniagaannya.

InvestKL ditubuhkan pada 2011 dan diberi mandat oleh kerajaan untuk menarik dan membantu pelaburan multinasional asing ke Greater KL/Lembah Klang dengan sasaran menarik 100 syarikat multinasional menjelang 2020.

Setakat ini entiti yang diberi tanggungjawab untuk mengubah Kuala Lumpur sebagai bandar raya moden dan berkembang pesat berjaya menarik 73 syarikat multinasional dengan kebanyakan mereka dari Eropah, Amerika Syarikat (AS), Asia Pasifik dan negara Teluk.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest KL Corporation (Invest KL) Datuk Zainal Amanshah berkata, meskipun kebanyakan syarikat MNC masih memilih Singapura untuk dijadikan sebagai hab serantaunya, Kuala Lumpur dilihat sebagai lokasi berpotensi tinggi untuk menyumbang kepada pertumbuhan syarikat.

Beliau berkata, Kuala Lumpur sentiasa menjadi pilihan bagi pembukaan pusat sehenti global, hab prinsipal dan pusat kecemerlangan yang mana ia adalah selari dengan aspirasi kerajaan untuk mempromosikan pelaburan berkualiti tinggi.

“Isu penubuhan hab operasi serantau di Singapura adalah perkara legasi sejak beberapa dekad lalu. Bagaimanapun jurang itu semakin mengecil dari tahun ke tahun.

“Malaysia dalam tempoh 20 hingga 30 tahun lalu memberi tumpuan kepada sektor pengeluaran dan mula berevolusi ke segmen perkhidmatan dan kemudiannya perkhidmatan perkongsian.

“Syarikat MNC mungkin mempunyai hab serantau di Singapura namun mereka masih yakin Kuala Lumpur adalah lokasi pemangkin kepada pengukuhan perniagaan bersandarkan kepada kelebihan bandaraya ini,” katanya ketika ditemui pada Invest Malaysia 2018.

Greater Kuala Lumpur dengan populasi sehingga 7.25 juta adalah bandar raya pesat membangun yang menawarkan ketersediaan bakat serta profesional dalam pelbagai bidang di samping kecekapan sambungan dan infrastuktur serta kos sara hidup yang kompetitif.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, Kuala Lumpur dan Malaysia kini semakin menghampiri untuk menjadi hab berteknologi tinggi di rantau ini.

Menurutnya, InvestKL kini sedang giat memperkukuh dalam mewujudkan identiti Malaysia untuk menjadi hab berkenaan dan ia bukan satu usaha dalam jangka masa pendek dan perlu diteruskan secara agresif serta proaktif.

Selain itu, katanya, Kuala Lumpur mempunyai pelbagai lokasi strategik untuk menubuhkan pusat sehenti dan hab serantau seperti di Bangsar South, KL Sentral, KLCC, Cyberjaya dan Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 11:58 AM