Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia kekal pada kadar sederhana apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus pada suku ketiga 2014 berbanding 6.5 peratus pada suku kedua tahun ini.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan ekonomi keseluruhan pada tahun ini akan kekal berada pada tahap 5.5 hingga enam peratus dipacu permintaan domestik dan pertumbuhan kukuh pada separuh tahun pertama tahun ini.

"Pada 2015, kami menjangkakan pertumbuhan KDNK berada pada kadar sederhana iaitu antara lima hingga enam peratus," katanya pada majlis pengumuman prestasi ekonomi pada suku ketiga 2014 di sini, hari ini.

Beliau berkata, permintaan daripada sektor swasta dan pertumbuhan eksport barangan serta perkhidmatan bersih yang terus positif menjadi pemacu utama bagi pertumbuhan yang dicatatkan pada suku ketiga itu.

"Ekonomi Malaysia dijangka kekal pada pertumbuhan sederhana dengan eksport menunjukkan kadar lebih perlahan manakala aktiviti pelaburan akan terus disokong aliran terkini dan projek baru dalam sektor awam dan swasta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 12:48 PM