Oleh Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Meskipun berhadapan dengan aliran keluar masuk modal yang kian meruap di samping proses konsolidasi fiskal berterusan, ekonomi Malaysia kekal mampan. Ini terbukti apabila perangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ke empat 2014 mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.8 peratus apabila prestasi sebegini adalah lebih baik daripada tempoh sebelum ini pertumbuhan KDNK berada pada kadar 5.6 peratus.

Selain itu, prestasi ekonomi Malaysia ini melebihi jangkaan penganalisis ekonomi yang rata-rata melihat pertumbuhan sebanyak lima peratus. Jika diperhalusi, prestasi ekonomi Malaysia ini banyak didorong oleh faktor ekonomi dalaman yang pertumbuhan permintaan domestik sudah pun mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus pada suku ke empat tahun lalu manakala pertumbuhan ekonomi luaran yang dizahirkan pertumbuhan eksport menyusut kepada 1.5 peratus berbanding 2.8 peratus bagi tempoh yang sebelumnya.

Umumnya, enjin pertumbuhan ekonomi domestik banyak dipacu perbelanjaan swasta seperti perbelanjaan penggunaan serta pelaburan yang mana kedua-dua faktor ini mencatatkan pertumbuhan begitu baik iaitu pada kadar 7.8 peratus dan 11.2 peratus.

Ini bererti pihak swasta banyak memainkan peranan di dalam menjana pertumbuhan ekonomi memandangkan pihak kerajaan begitu berhati-hati dalam membelanjakan peruntukan mereka bagi memastikan defisit fiskal kekal rendah dan ia jelas terbukti apabila perbelanjaan sektor awam menunjukkan pertumbuhan yang mengecil kepada 2.7 peratus manakala pertumbuhan pelaburan sektor awam menguncup kepada 2.1 peratus.

Untuk keseluruhan tahun lalu, pertumbuhan negara kekal mampan di tahap enam peratus berbanding 4.7 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, gambaran pertumbuhan bagi keseluruhan tahun 2014 sedikit berbeza berbanding suku ke empat 2014.

Ini memandangkan pertumbuhan ekonomi domestik yang berada pada kadar enam peratus berbanding 7.4 peratus pada 2013 manakala pertumbuhan eksport bersih iaitu selepas mengambil kira faktor import, mencatatkan pertumbuhan yang tinggi iaitu 19.7 peratus.

Perkara ini menunjukkan ekonomi Malaysia mendapat kesan limpahan yang positif ekoran kesan pemulihan ekonomi luaran terutama di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun yang mana pertumbuhan eksport negara kepada ketiga-tiga negara ini mencatatkan pertumbuhan tinggi iaitu 11 peratus, 11.6 peratus dan 3.9 peratus.

Petunjuk ekonomi yang lain juga menunjukkan ekonomi negara berada pada tahap baik. Sebagai contoh, imbangan akaun semasa mencatatkan lebihan sebanyak RM49.5 billion atau 4.6 peratus daripada nilai KDNK pada 2014 berbanding imbangan lebihan sebanyak RM39.9 billion atau 4.0 peratus daripada nilai KDNK pada 2013.

Peningkatan di dalam lebihan imbangan akaun semasa banyak didorong aktiviti perdagangan antarabangsa yang selari dengan keadaan permintaan luaran. Selain itu, defisit fiskal kerajaan menyusut kepada RM37.4 billion yang bersamaan 3.5 peratus daripada nilai KDNK pada 2014.

Pencapaian ini adalah baik memandangkan defisit fiskal pada 2013 berada pada tahap RM38.6 billion atau 3.9 peratus daripada nilai KDNK. Kadar inflasi pula dilihat meningkat kepada 3.2 peratus pada 2014 daripada 2.1 peratus yang banyak didorong oleh peningkatan di dalam indeks utiliti dan pengangkutan.

Bagaimanapun, ekonomi Malaysia pada tahun ini dijangka lebih mencabar apabila Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) sudah pun menyemak semula pertumbuhan ekonomi dunia pada bulan lalu. Pertumbuhan KDNK dunia dijangka meningkat kepada 3.5 peratus pada tahun ini berbanding 3.3 peratus pada tahun lalu.

Unjuran terbabit adalah pengurangan sebanyak 0.3 peratus jika dibandingkan dengan unjuran dibuat pada Oktober tahun lalu. Semakan unjuran itu berikutan penilaian semula terhadap prospek pertumbuhan di negara China, Rusia, Rantau Eropah dan Jepun berikutan aktiviti ekonomi yang kian memperlahan bagi negara-negara ini.

Meskipun begitu, pihak kami di Bank Islam menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan kekal mampan sekitar 5.3 peratus pada tahun 2015. Jangkaan kami mengambil kira terhadap suasana ekonomi dunia yang dilihat masih bercampur berikutan ekonomi terbesar dunia seperti AS masih menunjukkan momentum pertumbuhan yang sihat berikutan pasaran pekerjaan mereka yang baik.

Kadar pengangguran di AS sudah menurun kepada 5.7 peratus pada Januari 2015 berbanding 6.6 peratus, iaitu angka yang dicatatkan pada bulan sama tahun lalu. Di samping itu, asas ekonomi Malaysia yang baik seperti lebihan imbangan akaun semasa, penurunan di dalam defisit fiskal negara, pasaran pekerjaan stabil serta dasar monetari yang masih akomodatif di jangka akan terus menyokong momentum pertumbuhan negara.

Sistem perbankan juga berada pada tahap yang baik dengan kedudukan kecairan tinggi serta kualiti asset yang sentiasa mengukuh akan mewujudkan suasana pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan yang kekal stabil.

Namun, asas ekonomi yang sihat ini akan lebih bermakna jika diikuti dengan tahap produktiviti yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya merebut segala peluang bagi memajukan diri kerana berdasarkan perangkaan Bank Dunia, negara kita mempunyai akses kredit yang tinggi apabila angka nisbah kredit adalah bersamaan 123 peratus daripada nilai KDNK bagi 2013.

Ini bererti kemudahan pinjaman sememangnya agak mudah di Malaysia terutama bagi mereka yang memiliki pendapatan tetap. Untuk golongan ini, mereka boleh menceburi bidang perniagaan dengan skala yang kecil sebagai permulaan seperti perniagaan di atas talian.

Dengan tekad usaha konsisten, berkemungkinan perniagaan diceburi boleh berkembang maju sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah. Akhir kata, kita seharusnya bersifat lebih pro aktif bagi meningkatkan taraf hidup kita dan bukannya mengharapkan pihak lain untuk memperbaiki kedudukan ekonomi peribadi. Asas ekonomi baik ini adalah umpama resepi dan rencah masakan bagi memasak makanan enak dan ia pasti memerlukan tukang masak iaitu diri kita sendiri.

Penulis

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 9:57 AM