DARELL  bersalaman dengan peserta KLIABC 2018, semalam.
DARELL bersalaman dengan peserta KLIABC 2018, semalam.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Malaysia mampu menjadi hab pelaburan bagi sektor aeroangkasa dunia bersandarkan kepada keyakinan tinggi terhadap kepakaran dan keupayaan yang dimiliki negara oleh peserta industri tempatan dan global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking berkata, pembabitan negara dalam menghasilkan komponen pesawat bukan lagi perkara asing kerana terdapat syarikat tempatan yang menyumbang kepada eksport global seperti sayap dan ekor pesawat.

Beliau berkata, selari dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan, pihaknya yakin untuk mencapai sasaran pertumbuhan pendapatan industri berjumlah RM55.2 bilion atau lebih menjelang 2030.

“Malaysia sentiasa berada di hadapan dalam pelbagai aktiviti sepanjang rantaian nilai industri aeroangkasa seperti perkhidmatan reka bentuk dan kejuruteraan, penyepaduan sistem serta kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulihnya (MRO).

“Justeru, perkara ini menjadikan negara ini sebagai destinasi terbaik bagi pelaburan untuk sektor aeroangkasa, sekali gus menjadi antara hab utama dunia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIABC 2018) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MITI, Datuk Isham Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros dan Ketua Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), Shamsul Kamar Abu Samah.

KLIABC 2018 berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober itu disertai 150 syarikat aeroangkasa dari 21 negara yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Sementara itu, Shamsul Kamar berkata, kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka menjadi antara pemacu kepada pertumbuhan industri aeroangkasa negara dengan 50 syarikat pembuatan sektor itu akan dibangunkan menjelang 2020.

Katanya, kerajaan menyasar untuk membangunkan 30 syarikat pembuatan PKS baru dalam sektor aeroangkasa itu dalam tempoh beberapa tahun lagi, selain 20 syarikat sedia ada ketika ini.

Katanya, segmen pembuatan industri aeroangkasa tempatan menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sejak 1990-an dan ia dilihat mengatasi segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebagai penyumbang pendapatan utama dalam sektor aeroangkasa.

“Kami berharap segmen pembuatan boleh meningkat antara tujuh dan 15 peratus setiap tahun, tetapi ia bergantung kepada bagaimana kita boleh membawa lebih banyak pelaburan,” katanya

Setakat ini, 48 peratus atau RM6.6 bilion hasil industri aeroangkasa pada 2017 datang daripada segmen pembuatan aeroangkasa, diikuti 46 peratus daripada segmen MRO dan selebihnya daripada segmen perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 3:59 AM