MUSA (tengah) pada majilis penyerahan cek dana kepada tujuh syarikat Bumiputera serta 11 individu di Sabah.
MUSA (tengah) pada majilis penyerahan cek dana kepada tujuh syarikat Bumiputera serta 11 individu di Sabah.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menyerahkan peruntukan dana bernilai kira-kira lebih RM13 juta kepada tujuh syarikat dan 11 individu di Sabah sebagai langkah berterusan kerajaan dalam memperkasa ekonomi Bumiputera di negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh berkata, daripada keseluruhan dana itu, syarikat terbabit menerima RM12.85 juta di bawah Dana Mudahcara manakala 11 individu pula menerima sebanyak RM417,550 di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB).

Beliau berkata, usaha itu adalah melalui kerjasama antara TERAJU dengan kerajaan negeri Sabah yang bertujuan meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

“Inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa koridor ekonomi serantau seperti Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) ke arah mencapai objektif Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR) dalam meningkatkan kedudukan dan memastikan kesamaan sosioekonomi Bumiputera dalam ekonomi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Majlis penyerahan replika cek dana berkenaan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Ekonomi Bumpitera (MEB) Sabah Bil.2/2017.

Tujuh syarikat itu ialah Hemat Fajar Sdn Bhd, Winner Inspection Sdn Bhd, Empada Sdn Bhd, Integrated Logistics Solutions Sdn Bhd, Fasarina Hotel Management dan Service Sdn Bhd, SM Wawasan Sdn dan Saeedullah Enterprise Sdn Bhd.

Sementara itu, Musa turut merasmikan projek pembinaan semula Anjung Selera Tanjung Lipat, projek pembangunan seluas 51,130 kaki persegi yang akan menjadi mercu tanda premis usahawan Bumiputera di bandaraya Kota Kinabalu.

Ia adalah usahasama antara TERAJU di bawah Program Pembangunan Usahawan dan Modal Insan Sabah dengan SEDCOVEST dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu bernilai RM13.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 2:42 AM