AHMAD (empat dari kiri) dan Hafsah (empat dari kanan) bersama rakan kerjasama strategik pada majlis pelancaran TUBE Mega 2017, semalam.
AHMAD (empat dari kiri) dan Hafsah (empat dari kanan) bersama rakan kerjasama strategik pada majlis pelancaran TUBE Mega 2017, semalam.
Nabil Basaruddin

Shah Alam: SME Corporation Malaysia (SME Corp) komited untuk melahirkan 12,000 usahawan muda Bumiputera yang versatil menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Mega menjelang 2020.

Melalui pelaksanaan program TUBE Mega, dianggarkan 37,000 peluang pekerjaan baru dapat diwujudkan yang berupaya menjana RM1.1 bilion nilai jualan terkumpul serta menyumbang RM450 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim berkata, kumpulan pertama TUBE Mega itu bakal membabitkan penyertaan 1,000 belia Bumiputera berbanding 500 belia bagi program sebelum ini.

Beliau berkata, peserta yang terpilih menyertai program keusahawanan itu akan dilatih dan dipersiapkan dengan pelbagai input sebelum membabitkan diri dalam dunia perniagaan dan keusahawanan.

“Program TUBE Mega ini dijalankan dalam skala besar dengan jangkaan peningkatan sebanyak 2,000 usahawan pada 2018, 3,000 usahawan (2019) dan 5,000 usahawan (2020) sehingga mencapai sasaran 12,000 belia yang dilatih.

“Bagi program ini, RM20 juta diperuntukkan iaitu RM11 juta dari Unit Peneraju Bumiputera (TERAJU) dan RM9 juta lagi daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU),” katanya pada Majlis Pelancaran TUBE Mega 2017, di sini, kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan. Hadir sama Pengarah Kanan TERAJU Megat Mohd Yatim Megat Hamid.

Pada masa sama, turut diadakan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp dan lima rakan strategik bagi TUBE Mega iaitu TERAJU, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Nazrol Tech Sdn Bhd.

Hafsah berkata, usaha sama dengan TERAJU sejajar dengan inisiatif di bawah Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR) 2.0 yang turut menyokong Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) dalam agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Sejak dilaksanakan pada 2014, program keusahawanan TUBE mewujudkan hampir 3,862 peluang pekerjaan termasuk 2,437 pekerjaan baru dengan nilai jualan RM38.6 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 2:43 AM