Valerie (tengah) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) pada majlis pelancaran  PICKnGO, semalam.
Valerie (tengah) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) pada majlis pelancaran PICKnGO, semalam.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Pick N Go Sdn Bhd, syarikat yang memperkenalkan aplikasi perkhidmatan tempahan teksi, PICKnGO, menyasarkan pendaftaran sehingga 10,000 pemandu teksi berlesen dalam platform berkenaan bagi tempoh setahun.

Pengarah Eksekutifnya, Valerie Chan berkata, sejak membangunkan PICKnGO tiga bulan lalu, aplikasi terbabit sudah digunakan 1,000 pemandu teksi dan menerima sehingga 1,500 pengguna dalam tempoh hanya empat hari.

“Pembangunan aplikasi ini dilihat mampu mencerminkan matlamat syarikat teksi ke arah mengekalkan landskap perniagaan seiring dengan kemajuan teknologi yang berubah-ubah.

“Ia juga adalah masa sesuai untuk pemandu teksi melakukan transformasi daripada aspek perkhidmatan dan pengalaman pelanggan, apatah lagi wujudnya persaingan sengit dalam segmen ini,” katanya pada majlis pelancaran PICKnGO, semalam.

Menurutnya, hasil idea daripada lima syarikat teksi utama terbabit, PICKnGO berupaya menyediakan penumpang dengan perkhidmatan teksi yang lebih selamat, boleh dipercayai, mudah dan lebih penting menawarkan kadar berdasarkan meter.

Antara ciri baru yang diintegrasikan termasuk butang keselamatan SOS yang akan membolehkan penumpang untuk menikmati perjalanan dengan ciri keselamatan lebih tinggi di samping lebih selesa dan tenang untuk menuju ke lokasi.

Valerie berkata, PICKnGO hanya dipandu oleh pemandu profesional dengan kemahiran perkhidmatan terkini untuk menyediakan penumpang dengan pengalaman pelanggan yang lebih baik.

“Pengenalan aplikasi ini diharap dapat membantu meningkatkan semula pendapatan pemandu teksi yang telah terkesan disebabkan oleh pengenalan aplikasi perjalanan lain.

“Malah melalui kerjasama dengan MPAY, kami merancang melancarkan program pemasaran menarik bagi menawarkan 22 juta pengguna kad kredit dan debit dengan pelbagai hadiah eksklusif menerusi aplikasi PICKnGO,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 8:52 AM