VICTOR menunjukkan aplikasi atas talian Tripda.
VICTOR menunjukkan aplikasi atas talian Tripda.

Kuala Lumpur: Tripda Inc, syarikat penyedia platform perkongsian kenderaan atas talian, www.tripda.com.my berhasrat untuk mengadakan pengenalan penggunaan perkhidmatannya di 20 pusat pengajian tinggi menjelang akhir tahun ini.

Tripda yang mula beroperasi di Brazil pada Mei lalu dan kini hampir sebulan memasuki pasaran Malaysia menawarkan kemudahan kepada orang ramai untuk berkongsi kenderaan serta mengurangkan kos pengangkutan individu secara selamat.

Pengurus Negara Malaysia dan Singapura Tripda, Victor Ang berkata, laman web itu mempunyai ciri keselamatan kepada pemandu dan penumpang iaitu data peribadi terdapat di laman sosial seperti facebook akan dapat dilihat oleh pengguna bagi memastikan kewujudan individu sebelum berkongsi kenderaan.

Beliau berkata, selain itu, penumpang dan pemandu juga akan dapat memberi penilaian antara satu sama lain dan sekiranya penilaian salah satu pihak terlalu negatif terutama membabitkan keselamatan, pihak Tripda akan menyekat penggunaanya.

“Isu keselamatan menjadi keutamaan kami dan menerusi pengenalannya sejak Mei lalu di Brazil dan beberapa negara di Amerika Latin, tidak terdapat sebarang isu keselamatan direkodkan oleh kami memandangkan pemandu atau penumpang sendiri boleh menilai antara satu sama lain sebelum keputusan perkongsian dimuktamadkan.

“Selain itu, dari segi kos, kami sendiri akan menetapkan bayaran dikenakan kepada penumpang yang mana pemandu boleh memilih beberapa harga ditawarkan oleh kami daripada had minimum hingga maksimum mengikut jarak perjalanan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Tripda juga menyediakan perkhidmatan ini menerusi aplikasi Tripda yang boleh dimuat turun sama ada oleh pengguna platform Android atau OS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:25 AM