CHEW  (kanan) bersama Dr Mazlan (tengah) dan Ting pada majlis memeterai Memorandum Perjanjian (MoA).
CHEW (kanan) bersama Dr Mazlan (tengah) dan Ting pada majlis memeterai Memorandum Perjanjian (MoA).
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Smartlink Asia Bhd, Richwood Ventures Bhd, Panpay Holdings Sdn Bhd dan QMIS Richwood Blacktech Sdn Bhd yang secara kolektif disebut sebagai Smartlink memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Managepay Service Sdn Bhd (MPay) bagi menghasilkan kaedah pembayaran digital terbaharu.

Kaedah bayaran itu menawarkan produk yang dinamik, pantas dan selamat iaitu Kad Prabayar MPay PanPay MasterCard, MPay Smartlink Wallet dan MPay Smartlink Online Wallet.

Menerusi perjanjian ini, MPay akan menyediakan kepakaran teknologi dalam pembangunan produk bayaran manakala Smartlink akan melaksanakan program mempromosikan MPay Panpay Mastercard dan MPay Smartlink Wallet (e-walet).

Dengan itu, pengguna akan memperoleh faedah dengan satu lagi pilihan baharu untuk melaksanakan transaksi pembayaran secara digital iaitu menggunakan MPay Panpay Mastercard ataupun MPay Smartlink Online Wallet.

Smartlink juga merangkakan lebih banyak manfaat dan kemudahan kepada pengguna sebagai nilai tambah berterusan dalam siri promosi produk MPay Panpay Mastercard ataupun MPay Smartlink Online Wallet yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Pengerusi Eksekutif Richwood Ventures Bhd, Dr Mazlan Ahmad berkata, Smartlink akan berusaha sedaya upaya untuk mengamalkan konsep kewangan sosial dan keusahawanan sosial.

Menurutnya, kewangan sosial atau pembiayaan sosial adalah pendekatan inovatif untuk menguruskan pelaburan yang mampu menghasilkan pulangan kewangan

"Kewangan sosial ini juga merangkumi kesan sosial dan persekitaran positif yang dapat diukur.

"Malah, konsep ini menyatakan kesan sosial, persekitaran dan kelestarian positif serasi dengan pulangan kewangan," katanya.

Dr Mazlan berkata, usahawan sosial pula ialah individu atau syarikat yang mengejar aplikasi baru yang berpotensi untuk menyelesaikan masalah berasaskan masyarakat.

Menurutnya, individu atau syarikat ini bersedia mengambil risiko dan usaha untuk mewujudkan perubahan positif dalam masyarakat melalui inisiatif mereka.

"Usahawan sosial percaya bahawa amalan ini adalah cara untuk menghubungkan manusia dengan tujuan hidup, menolong orang lain dan membuat perbezaan di dunia sambil mencari nafkah.

"Walaupun dalam fasa permulaan, saya berharap dengan pengamalan kewangan sosial dan keusahawanan sosial ini, Smartlink boleh membantu masyarakat Malaysia terutama pada waktu pandemik ini untuk menjalankan kehidupan yang lebih baik dan selesa," katanya selepas majlis menandatangani MoA.

Hadir sama, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Richwood Ventures Bhd, Datuk Seri Ting Teck Sheng.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mpay, Datuk Chew Chee Seng berkata penggunaan e-wallet ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pada zaman ekonomi digital.

"Kini, penggunaan e-wallet sangat popular dan hampir semua orang menggunakan e-wallet dalam urusan seharian.

"Dengan perjanjian ini, kami akan menggunakan lesen dan teknologi yang ada untuk penghasilan Kad Prabayar MPay PanPay MasterCard, MPay Smartlink Wallet dan MPay Smartlink Online Wallet," katanya.

Semua pihak yang mencapai persefahaman dan perjanjian mempunyai kepakaran perniagaan yang tersendiri.

Smartlink Asia Bhd sedang membina satu aplikasi yang Smartlink percaya boleh mempermudahkan kehidupan masyarakat dengan menggabungkan keperluan harian dalam satu aplikasi (super apps).

Richwood Ventures Bhd pula adalah syarikat pegangan pelaburan dan perniagaan yang berasaskan teknologi.

Panpay Holdings Sdn Bhd adalah syarikat jualan langsung berlesen yang menjual produk kecantikan dan kesihatan.

QMIS Richwood Blacketch Sdn Bhd pula adalah pengendali e-mall, Ezymart.co.

Masyarakat boleh membeli barangan keperluan dan pelbagai pilihan produk yang ditawarkan melalui aplikasi Ezymart.co dengan menggunakan platfom bayaran yang dikendalikan Managepay.

Platfom bayaran ini menerima bayaran dalam pelbagai cara seperti kad kredit, bayaran dalam talian dan beberapa e-walet yang tersenarai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 7:02 AM