PESERTA di cabaran akhir IMDC
PESERTA di cabaran akhir IMDC
PELAJAR UTM, Ang Miin Shan, Daniel Ng Chiu Loong dan Lee San Kong yang mendapat Anugerah Kecemerlangan Innovate.
PELAJAR UTM, Ang Miin Shan, Daniel Ng Chiu Loong dan Lee San Kong yang mendapat Anugerah Kecemerlangan Innovate.
Fazurawati Che Lah


Innovate Malaysia Design Competition (IMDC) 2017 menyaksikan kejohanan reka bentuk kejuruteraan terbesar apabila 45 pasukan mempamerkan projek inovasi yang menarik dan hebat di peringkat akhir pertandingan itu.

IMDC yang memasuki siri ketujuh itu bertujuan menyemai budaya inovasi dalam kalangan pelajar tahun akhir kejuruteraan, sains komputer dan mahasiswa IT di Malaysia.

Pasukan ViTrox dari Universiti Teknologi Malaysia menjuarai pertandingan IMDC tahun ini menerusi ciptaan dikenali sebagai Spot iaitu aplikasi yang mengandungi teknologi terkini visi mesin dan telefon pintar untuk atasi masalah letak kereta.

Pasukan yang terdiri daripada penuntut jurusan kejuruteraan elektronik iaitu Daniel Ng Chiu Loong, 24, Ang Miin Shan, 23, dan Lee San Kong, 24.

“Aplikasi Spot direka kerana kami memahami kesukaran untuk mendapatkan tempat letak kereta di kawasan sesak terutama waktu makan tengah hari.

“Dengan menggunakan aplikasi itu, ruang parkir kosong akan diketahui mengikut keadaan semasa. Platform ini juga membolehkan pemandu berkomunikasi antara satu sama lain dalam aplikasi khusus bagi mereka yang terlibat dalam situasi dua tempat letak kereta,” katanya.

Ng berkata kemenangan itu memberi keyakinan kepadanya dan rakan mengenai idea penyelesaian teknologi dan berharap aplikasi rekaannya itu akan dimanfaatkan orang ramai suatu hari nanti.

Persaingan IMDC 2017 yang menyaksikan penyertaan lebih 600 pelajar tahun ini mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Institusi Jurutera Malaysia (IEM).

Timbalan Menterinya Datuk Dr Mary Yap, berkata, IMDC sememangnya inovatif dengan cara sendiri kerana ia melengkapkan pelbagai usaha kerajaan untuk menangani keperluan penting negara bagi menyediakan modal insan yang berwibawa dan berkemampuan di peringkat global.

“Kejohanan ini berfungsi sebagai tempat ujian bagi penuntut di negara untuk membawa pemikiran kreatif dan inovatif serta bersaing secara sihat,” katanya.

Pada tahun ini, Motorola Solutions dilantik sebagai tuan rumah.

Menurut Ketua Pusat Rekabentuk Motorola Solutions Malaysia Penang, Solomon Lorthu ia menerima sambutan menggalakkan daripada penuntut dari seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 2:49 PM